Johan Abdul Aziz
Johan Abdul Aziz

HULU LANGAT – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua yang menjadi isu antara  Barisan Nasional (BN) dan DAP sejak beberapa minggu lepas kini sudah selesai apabila Datuk Johan Abd Aziz menjadi calon.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih itu berkata, tidak akan ada pertikaian lagi antara DAP dan BN  berhubung kerusi tersebut sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) selesai pada 12 Ogos ini.

Ketika ditemui, Johan melahirkan keyakinan bukan sahaja BN akan berjuang untuk kemenangan sebaliknya juga dalam kalangan Pakatan Harapan (PH) khasnya DAP.

Malah ratusan penyokong yang hadir memberikan sokongan kepada Johan hari ini ketika penamaan calon pagi ini termasuk dalam kalangan PH selain daripada komponen BN seperti parti MCA dan MIC.

“Sebenarnya semua parti politik kerajaan bersepakat untuk meletakkan calon BN di Dusun Tua dan akhirnya DAP akur berhubung perkara itu. Saya rasa isu rakyat terima atau tidak, ini kawasan siapa dan sebagainya sudah selesai.

“Kita semua duduk semeja, berbincang dan bersepakat dalam kalangan peringkat Parlimen sehinggalah bahagian-bahagian parti seperti DAP sendiri, Amanah dan PKR. Jadi isu ini sudah selesai. Kita semua akan bekerjasama untuk kemenangan kita di sini,” katanya.

Penyandang kerusi Dusun Tua daripada ahli DAP iaitu, Edry Faizal Eddy Yusof malah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pernah melahirkan rasa tidak puas hati untuk melepaskan kerusi itu.

Bendahari DAP Selangor, Ong Kian Ming pula mendakwa jika DUN itu diberi kepada  UMNO tindakan itu  boleh menyebabkan ketidakpuasan hati akar umbi partinya.

Apabila kerusi itu akhirnya diberikan kepada BN, DAP tampil dengan syarat sebagai pertukaran kerusi itu, DAP mencadangkan supaya Yang Dipertua Negeri Selangor dilantik dalam kalangan bukan ADUN dan mencadangkan penyandang DUN Banting, Lau Weng San sebagai calon.

DUN Dusun Tua merangkumi 63 peratus pengundi Melayu diikuti 28 peratus pengundi Cina, India tujuh peratus dan lain-lain dua peratus.

Pada PRU13, kerusi ini pernah dimenangi BN sebelum tewas kepada calon Pas sebelum DAP menang pada PRU-14. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast