CYBERJAYA – Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, Datuk Seri Jamil Salleh menepis ‘cakap- cakap’ pihak yang mengatakan dirinya sebagai hanya ‘pelancong pilihan raya’.
Bekas Ketua Setiausaha di dua kementerian iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum bersara wajib itu berkata, sebelum ini ada yang mengatakan beliau bukan orang yang layak menjadi wakil rakyat di kawasan itu kerana mendakwanya sebagai orang luar.
Bagaimpun, Jamil, 64, menegaskan beliau sudah menetap di kawasan itu sejak lima tahun lalu dan sudah biasa dengan keadaan di tempat itu.
“Saya ada mempunyai rumah di Dengkil dan tidak sangka terpilih sebagai calon di sini. Selain Dengkil, saya juga sudah biasa dengan Selangor malah tidak pernah keluar dari Lembah Klang ketika berkhidmat dalam kerajaan selama lebih 40 tahun.
“Saya akan menggunakan kepakaran dan pengalaman selama 40 tahun berkhidmat dalam kerajaan untuk membantu rakyat di Dengkil,” katanya selepas Penamaan Calon di Dewan Semarak di sini hari ini.
DUN Dengkil menyaksikan pertandingan empat penjuru yang menampilkan tiga lagi calon terdiri daripada Barisan Nasional (BN) iaitu Pengerusi BN Sepang, Noorazli Said, calon Parti Utama Rakyat, Datuk Mohd Daud Leong Abdullah dan wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM), Darren Ong. – MalaysiaGazette