KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan lari ke Hulu Klang selepas menyedari kerusi DUN Ampang bakal dimiliki Pakatan Harapan (PH).
“Mungkin juga ada sebab tertentu. Atau itu mungkin tanda-tanda yang menyatakan Ampang ini adalah wilayah Keadilan, wilayah Pakatan Harapan,” kata calon PH Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamarudin.
Ditanya mengenai perancangan memastikan kemenangannya di Bukit Antarabangsa, beliau mahu menggalas tanggungjawab memastikan isu-isu berkaitan alam sekitar ditangani dengan lebih berkesan.
Jelas Mohd Kamri, beliau mahu memastikan pembangunan di Bukit Antarabangsa mengikut polis-polisi yang betul seperti digariskan oleh pihak berkuasa.
“Saya tinggal di Bukit Antarabangsa lebih 25 tahun, saya tahu isu-isu semasa. Seperti semua sedia maklum, perkara sensitif di sini adalah berkaitan alam sekitar.
“Ramai tahu banyak kejadian-kejadian seperti tanah runtuh (di Bukit Antarabangsa) dan sebagainya. Jadi, fokus utama saya adalah alam sekitar,” katanya yang juga bekas Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Kamri berkata demikian ketika ditemui selepas selesai Proses Penamaan Calon di Dewan Dato’ Ahmad Razali, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kamri berharap agar tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang telah bermula hari ini berlangsung dalam keadaan aman, tanpa menyentuh sentimen sensitif yang ditegah pihak berkuasa.
“Kita sama-sama kalau boleh jauhkan menyentuh isu-isu sensitif seperti isu 3R (Royal, Race and Religion) yang menjadi semakin panas sekarang,” tambahnya.
Dalam PRN kali ini, Mohd Kamri Kamarudin (PH) bersaing dengan Sasha Lyna Abdul Latif (PN) dan Melanie Ting (MUDA) bagi merebut kerusi Bukit Antarabangsa yang pernah di menangi Mohamed Azmin pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Bagaimanapun, bekas Timbalan Presiden PKR itu dipecat oleh parti selepas konflik dalaman pada 23 Februari 2020 dan menyertai Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Ogos tahun sama. – MalaysiaGazette