SEREMBAN – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan yakin kesan yang ditimbulkan oleh segelintir penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap enam pilihan raya negeri (PRN) tidak bersifat menyeluruh.
Menurut beliau, setakat ini tidak diketahui sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut yang mungkin tidak menggambarkan pendirian majoriti penyokong BN dan UMNO.
“Tengok keadaanlah, tempat-tempat tetapi rasanya tidak menyeluruh, sebahagian atau beberapa orang sahaja.
“Kita cuba untuk menenangkan keadaan dan kita pula tak mahu mengambil mudah isu-isu yang dibangkitkan,” katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon bagi kerusi tersebut di Sekolah Kebangsaan Sri Sendayan, di sini, hari ini.
Mohamad yang bakal mempertahankan kerusi DUN Rantau mengulas mengenai kemungkinan sebahagian penyokong BN dan UMNO melakukan protes pada PRN ekoran tiada perkembangan positif mengenai usaha mendapatkan pengampunan diraja bagi Najib.
Beliau menambah, anak Najib, Datuk Mohd Nazifuddin sendiri telah menyelar tindakan penyokong ‘Bossku’ yang mengisytiharkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) menjelang PRN sebagai mengeksploitasi pilihan raya demi kepentingan mereka sendiri.
“Kenyataan itu sudah memadai bagi orang mengetahui keadaan sebenar,” jelasnya.
Sementara itu, Mohamad menasihatkan pengundi agar tidak terperdaya dengan propaganda pihak tertentu bahawa kerajaan Persekutuan akan tumbang sekiranya keputusan PRN memihak kepada PN.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata, setelah Akta Antilompat Parti dikuatkuasakan, tiada Ahli Parlimen yang boleh menyokong pihak lain tanpa kebenaran partinya.
“Saya harap di Negeri Sembilan dan negeri-negeri lain sebaik-baiknya kita pastikan kerajaan negeri sama dengan kerajaan Pusat supaya kita dapat mengurus negeri dan negara dengan teratur,” katanya. – MalaysiaGazette