GEORGE TOWN – Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang menyifatkan dakwaan wujud ‘maharaja’ dalam pimpinan DAP hanya anggapan segelintir ahli yang mempunyai pandangan berbeza dengan keputusan parti.

Jelas beliau, perbezaan pandangan dalam kalangan ahli parti membabitkan pemilihan calon serta isu lain adalah perkara biasa.

Bagaimanapun, keputusan akhir parti akan membawa kepada penyatuan dan itu diamalkan DAP sebagai sebuah parti yang berdisiplin.

“Apa yang penting, mungkin kita ada perbezaan (pendapat) dalam mengendalikan sesuatu perkara namun sebaik sahaja ia diputuskan, kita bersatu padu.

“Kita mahu keputusan itu terlaksana demi mencapai tujuan sama iaitu untuk membawa Pulau Pinang, Malaysia ke arah lebih baik.

“Selain itu, kami juga mahu menarik perhatian rakyat bahawa DAP merupakan parti yang berdisiplin serta bersatu padu,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan wujud seorang ‘maharaja’ yang memutuskan segala keputusan dalam DAP.

Terdahulu, Kit Siang mengadakan walkabout di Jalan Penang, di sini, bersama calon kerusi De dan Wong Yuee Harng (Pengkalan Kota).

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying.

Sementara itu, ketika diminta mengulas wujud perbezaan antara kepimpinan Lim Guan Eng dengan beliau serta Karpal Singh, Kit Siang berkata, perbezaan pandangan berlaku dalam kalangan semua parti namun cara mengendalikan ia demi menyatu padukan parti menjadi keutamaan.

“Kita ada perbezaan pandangan dan dalam mengendalikan sesuatu perkara tapi apa yang mustahak kita mempunyai lebih banyak persamaan,” katanya.

Pada Rabu lalu, Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees mendakwa terdapat seorang ‘maharaja’ dalam DAP yang menentukan senarai calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Pulau Pinang.

Satees juga mendakwa pemimpin DAP itu membuat keputusan sendiri sekali gus membelakangkan senarai dikeluarkan oleh Setiausaha Agung yang dipersetujui oleh DAP negeri. – MalaysiaGazette