GEORGE TOWN – Manifesto Perpaduan membabitkan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang akan dilancarkan pada Selasa depan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, intipati Manifesto Perpaduan itu merupakan buah pandangan yang dikumpul daripada gabungan rakan parti PH dan BN untuk diperkenalkan sebagai janji-janji PRN15 di negeri itu.
Jelas beliau, pihaknya juga akan menyentuh mengenai prestasi kerajaan negeri serta janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 telah dilaksana.
“Pelancaran manifesto Perpaduan itu akan dilakukan di Butterworth Arena, bermula pukul 9 malam.
“Selain pelancaran itu, kita juga akan mengadakan pengenalan 40 calon mewakili PH-BN negeri ini dan ia juga merupakan acara tradisi yang dilakukan kita sebelum ini,” katanya dalam sidang media di Wisma DAP di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Kon Yeow berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan pimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan juga dijangka hadir ke Pulau Pinang.
“Perdana Menteri dijadualkan turun untuk program Jelajah Madani yang akan berlangsung pada 5 Ogos ini,” katanya.
PRN15 di Pulau Pinang menyaksikan DAP bertanding di 19 kerusi DUN, PKR (13), BN (6) dan Amanah (2). – MalaysiaGazette