KUALA LUMPUR – “Ini kerja Nik Amar (Mohd Amar) jahat dan dia tak bagi kepada Nik Abduh dan sampai di telinga saya dia tak bagi keluarga tok guru Nik Aziz bertapak di kawasan Pengkalan Chepa.”
Itu kata adik kepada bekas Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah menjadi punca anak saudaranya tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan.
Dalam satu video tular hari ini, Nik Din Nik Mat hairan apabila nama Nik Abduh tidak dicalonkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka walaupun Presiden Pas sendiri memberi jaminan anak saudaranya diperlukan oleh parti sebelum itu.
“Haji Hadi maklumkan parti memang perlukan Nik Abduh kerana dia seorang yang cerdik, kerjanya bagus, dan rajin bersuara di Parlimen.
“Jadi ambo (saya) hairan bila diperhatikan nama Nik Abduh tidak dicalonkan di DUN Chempaka.
“Sedangkan tok guru (Abdul Hadi) ada tulis surat kepada Pesuruhjaya Pas Kelantan (Datuk Ahmad Yakob) supaya diberikan kerusi DUN Chempaka kepada Nik Abduh tetapi dia (Nik Amar) tolak.
“Apabila DUN Chempaka kosong, ambo tengok nama dia (Nik Abduh) tak ada, ini saya hairan dan takda kerja orang lain.
“Ini kerja Nik Amar, jahat dan dia tak bagi kepada Nik Abduh dan sampai di telinga saya dia tak bagi keluarga tok guru Nik Aziz bertapak di kawasan Pengkalan Chepa,” katanya.
Wakil Pas yang menjadi calon DUN Chempaka dalam PRN kali ini adalah Nik Baharum Nik Abdullah.
Nik Din seterusnya mahu penduduk DUN Panchor tidak mengundi Nik Amar kerana mahu pemimpin nombor dua kerajaan negeri itu mendapat bantahan kerana cuba menidakkan Nik Abduh di dalam PRN. – MalaysiaGazette