Calob BN Mohamad Khir Ramli (kanan) dan calon PN Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin.

KUALA LUMPUR – Tindakan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berpihak kepada Perikatan Nasional (PN) tidak akan memberi kesan terhadap pengundi Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong.

Calon BN bagi DUN itu, Mohamad Khir Ramli mendakwa, pengaruh bekas Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang tersebut hanya melingkari kawasan DUN Permatang yang juga terletak di bawah Parlimen Tanjong Karang.

Mohamad Khir yakin dengan sokongan sekutu baharu iaitu Pakatan Harapan membolehkan BN terus mempertahankan DUN Sungai Burong dalam pilihan raya pada 12 Ogos nanti.

“Tak. Dia cuma bawa pengaruh di sebelah Permatang. Di Sungai Burong ini dia (Noh) tidak kacau.

“Insya-Allah di luar sana penyokong PKR ada, penyokong Amanah ada, penyokong BN ada. Bila ketiga-tiga bergabung (kita boleh menang) tambahan Tan Sri Noh tak bawa pengaruh di sini,” kata Mohamad Khir.

Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang itu ditemui selepas menyerahkan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon Dewan Dato’ Hormat di sini hari ini.

DUN Sungai Burong terletak di bawah Parlimen Tanjong Karang di mana menyaksikan Noh menjadi ahli Parlimen di kawasan itu selama enam penggal.

Ditanya mengenai visi beliau kepada penduduk sekiranya menang, usahawan penternakan ayam pedaging itu berkata, dia mahu terus memajukan Sungai Burong sebagai destinasi pelancongan.

Sementara itu, calon PN, Dr. Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin, 44, pula berpendapat, perubahan sokongan Noh bakal mendatangkan kesan positif kepada parti itu dalam PRN pada 12 Ogos depan.

“Alhamdullilah, bila orang sudah berkhidmat enam penggal dengan personal touch yang begitu baik walaupun orang kata muka (Noh) ganas tapi hati dia ada taman dan dia seorang yang sangat peka. Bila berjanji dia tunaikan. Itulah faktor dia beralih ke PN.

“Sudah pasti pengaruh dan gelombang dia ada di Tanjong Karang. Walaupun ahli parti lama (dia) ada yang tidak keluar parti tapi memberi sokongan (dengan undi) kepada PN,” katanya.

Ketua Dewan Ulama Pas Selangor itu akan menggunakan fasiliti yang dibina semasa Noh menjadi ahli Parlimen untuk membangunkan modal insan di kawasan itu.

Noh dipecat daripada UMNO awal tahun ini selepas didakwa terlibat dengan tindakan mensabotaj parti dalam pilihan raya umum ke-15.

Pada Mei lalu Noh berikrar menjadikan Parlimen Tanjong Karang sebagai kubu kuat PN pada pilihan raya negeri selepas sekian lama dikuasai UMNO.

Anak Noh, Nurul Syawani diletakkan sebagai calon PN di DUN Permatang dan berdepan dengan cabaran daripada calon Pakatan Harapan, Mohd. Yahya Mat Sahri.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast