SELAYANG — Penyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, Sallehudin Amiruddin membuat kejutan apabila bertanding semula sebagai calon bebas di kawasan itu.
Beliau menghantar borang pencalonan pada 9.49 pagi tadi.
Sallehuddin sebelum ini adalah calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memenangi kerusi itu atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Beliau kemudian mengumumkan keluar parti kerana tidak bersetuju Bersatu keluar dari Pakatan Harapan (PH).
Selepas itu, Sallehuddin dilaporkan menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan menjadi Jawatankuasa Penaja Parti.
Dengan pencalonan Sallehuddin, DUN N13 Kuang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru.
Beliau akan berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rafiq Mohd Abdullah dan Datuk Hasnal Rizua Merican Habib Merican yang mewakili Barisan nasional (BN).
Sementara itu di pusat penamaan calon sama, kerusi DUN N14 Rawang pula menyaksikan penyandangnya Chua Wei Kiat (PH) bersemuka satu lawan satu dengan Rajean Kumar Ratnam (PN).
Kerusi DUN N15 Taman Templer pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru namun penyandangnya, Mohd Sany Hamzan yang kini Ahli Parlimen Hulu Langat tidak mempertahankan kerusi itu.
Calon bagi merebut kerusi itu membabitkan Aida Nazeera Abd Rahman (MUDA), Anfaal Saari (PH), dan Zaidy Abdul Talib (PN). -MalaysiaGazette