HULU LANGAT – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N23 Dusun Tua menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Calon-calon itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor itu ialah Datuk Johan Abd Aziz (BN), Azhar Hambali (PN), Al Hafiz Ikhwan Mohamad Asaad (Muda).
Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Haizul Faisal Abdul Hamid yang mengumumkan nama calon itu di Dewan Sekolah Agama Menengah Hulu Langat, Batu 10, Cheras, di sini berkata: “Saya memutuskan tiada calon yang ditolak pencalonannya,”.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kerusi di bawah Parlimen Hulu Langat itu menjadi milik UMNO apabila Ismail Sani memenanginya namun tbeliau ewas kepada calon Pas, Razaly Hassan manakala pada PRU14.
Sebanyak 63 peratus pengundi dikawasan tersebut adalah Melayu, diikuti Cina (28 peratus), India (tujuh peratus) dan lain-lain (dua peratus).
Sementara itu, Johan Aziz yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih selama dua penggal berkata, beliau yakin kemenangan bakal diraih pada 12 Ogos ini.
Katanya, ini kerana beliau cukup arif dan berpengalaman dengan kawasan setempat.
“Pengalaman berkhidmat sebagai ADUN di Semenyih telah beri saya kelebihan, ini akan saya gunakan sebaiknya. Banyak isu-isu penting yang akan saya fokus andai kemenangan itu diberikan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini. – MalaysiaGazette