SEREMBAN – Parti Keadilan Rakyat (PKR) optimis memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan yang menyaksikan penyandang daripada parti itu membuat kejutan bertanding sebagai calon Bebas hari ini.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, disebalik tindakan dilakukan Datuk Mohamad Rafie Ab. Malek itu, beliau yakin ramai jentera parti akan membantu kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 12 Ogos ini.
“Itu hak dia itu untuk dia bertanding (calon Bebas) dalam negeri yang demokrasi, negara demokrasi tak ada masalah, itu biasa dalam politik ada yang keluar (parti), ada yang merajuk.
“Saya masih optimis bahawa kita masih ada kekuatan dan saya yakin jentera (PH) yang ada akan membantu,” katanya kepada pemberita selepas selesai diumumkan sebagai calon DUN Sikamat di pusat penamaan calon di Dewan Komuniti Coral Heights, Seremban.
Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Mohamad Rafie yang membuat kejutan dan diumumkan sah bertanding sebagai calon Bebas di DUN Ampangan hari ini.
Pada Majlis Pengenalan Calon PH Negeri Sembilan, Ahad lalu, Mohamad Rafie tidak dinamakan untuk mempertahankan DUN Ampangan, sebaliknya digantikan dengan Ketua Wanita Cabang Seremban, Tengku Zamrah Tengku Sulaima.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, tindakan Mohamad Rafie yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri menentang calon PKR itu diketahuinya malam tadi.
“Kita ada dengar-dengar desas-desus dia nak bertanding semalam dan bila dia hantar borang pencalonan hari ini, memang dia tergugur dari ahli dan mereka yang terlibat juga akan diambil tindakan,” katanya. – MalaysiaGazettePKR optimis menang DUN Ampangan, berdepan penyandang bertanding sebagai Beba