Dominic (kanan) diumumkan calon nombor 1 bagi DUN Bayan Lepas manakala penyandang kerusi berkenaan, Azrul Mahathir calon nombor dua.

BAYAN LEPAS – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas menyaksikan pertembungan dua penjuru membabitkan calon Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Penyandang kerusi itu, Azrul Mahathir Aziz (Amanah) bakal dicabar Presiden Parti Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai.

Pengumuman calon tersebut dibuat oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pusat Penamaan Calon DUN Bayan Lepas, Mohd Hafiz Aswad Nazri  di Dewan Bukit Belah di Teluk Kumbar di sini, hari ini.

Azrul tengah berarak bersama penyokong masing-masing.

Terdahulu, Azrul Mahathir diiringi Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga Wanita dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu serta Naib Presiden Amanah, Senator Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.

Dominic Lau merupakan calon pertama yang menyerahkan borang pencalon kepada pegawai SPR kira-kira jam 9.03 pagi dan diikuti Azrul Mahathir lima minit kemudian.

Proses penamaan calon bermula jam 9 pagi sebelum ditutup sejam kemudian.

Pada PRU14, Azrul Mahathir memenangi kerusi Bayan Lepas selepas memperolehi 12,504 undi sekali gus mengalahkan calon BN, Rusli Hashim (7,259 undi) dan Pas, Zarina Shinta Madar (2,497 undi).

Dominic Lau hadir bersama penyokong PN ke pusat penamaan calon.

Manakala Dominic Lau sebelum ini bertanding di kerusi Parlimen Batu, Kuala Lumpur pada PRU13 dan PRU14. Beliau tewas dalam kedua-dua pilihanraya berkenaan.

Kali ini, Dominic Lau dicalonkan di DUN Bayan Lepas sebagai calon PN dan ia menimbulkan ketegangan dengan akar umbi Pas Bayan Lepas memandangkan ia kerusi tradisi Pas selain kawasan majoriti Melayu.

Selain bantahan aman terhadap pencalonan Dominic Lau, ahli akar umbi Pas juga mendakwa beliau menggunakan kabel untuk mendapatkan kerusi tersebut dan tindakannya itu dilabelkan sebagai bacul susulan tidak berhadapan dengan calon daripada DAP.

Untuk rekod, Pakatan Harapan PH memenangi 37 daripada 40 kerusi DUN Pulau Pinang pada PRU-14 dengan 12 daripadanya dimenangi PKR selain Amanah (dua) dan empat kerusi bekas ADUN Bersatu yang suatu ketika dulu sebahagian PH.

Data SPR menunjukkan seramai 39,754 pengundi berdaftar bagi DUN Bayan Lepas setakat 21 Jun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast