Calon Perikatan Nasional (PN) N24 Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hadir bagi menyerahkan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) di Pejabat Daerah Dan Tanah Sik, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 29 JULAI 2023.

SIK – Calon Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tiba di perkarangan pusat penamaan jam 9.10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri.

Beliau yang ditemani pencadang dan penyokong terus memasuki Pejabat Pertanian Daerah Sik yang merupakan pusat penamaan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, hari ini.

Sanusi yang terakhir tiba dijangka ditentang Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang pertama tiba jam 8.39 pagi.

Muhamad Khizri diiringi calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Belantek, Mazli Saipi yang akan ditantang calon PN, Ahmad Sulaiman yang tiba jam 8.52 pagi.

Terdahulu Sulaiman berarak dari Majlis Pondok Tuan Guru Salleh Musa bersama penyokong PN.

Sebelum perarakan Sulaiman melakukan solat hajat bersama penyokong parti di pondok itu.

Setakat jam 9.20 pagi, tiada kelibat calon bebas yang mengemukakan borang pencalonan.

Pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), Sanusi memenangi kerusi DUN Jeneri dengan majoriti 10,626. – MalaysiaGazette