Bujang Abu

SEREMBAN – Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, mengakui tidak menyasarkan kemenangan bertanding di kerusi penyandang Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan itu.

Sebaliknya, pesara Lembaga Letrik Negara (LLN) Bujang Abu, 72, berkata, dia hanya memenuhi hasrat untuk berada dalam gelanggang bersama Datuk Seri Aminuddin Harun yang menjadi idolanya.

“Saya kenal Aminuddin dan suka cara dia sebab itu bila tahu dia bertanding kali ini, saya sanggup pakai wang simpanan saraan RM6,000 untuk jadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 12 Ogos ini.

“Tak perlu ada penyokong, macam orang nak bergusti dapat masuk gelanggang cukuplah, saya nama pun tak ada (dikenali). Ramai penyokong pun tak guna dan pengundi nak pangkah atau tak itu terpulang.

“Saya tak takut hilang deposit sebab bukan senang untuk masuk gelanggang yang ada MB,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai diumumkan sebagai calon DUN Sikamat di pusat penamaan calon di Dewan Komuniti Coral Heights, Seremban di sini hari ini.

Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Sikamat, Saiful Saadon mengumumkan Aminuddin sah sebagai calon untuk mempertahankan kerusi DUN itu, sekali gus menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Aminuddin yang cuba mempertahankan kerusi itu buat kali ke empat berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Ahmad Raihan Muhamad Hilal selain dua lagi calon Bebas, Bujang dan Mohammed Hafiz Baharudin, 47.

Ditanya, adakah dia tidak mengambil pengajaran daripada kehilangan wang deposit selepas kalah dengan Aminuddin di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, bapa kepada lima anak itu berkata dia tidak perlu memikirkan perkara tersebut.

“Sebagai orang Islam, saya ada Allah dan tak fikirkan soal duit kerana cuma pakai RM6,000 yang dikumpul setiap bulan selepas 2018.

“Buat apa nak takut kalah sedangkan saya pun ambil Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pun lapan kali baru lulus malah ada orang lain bertanding PRN sampai lapan kali, saya baru empat kali,” katanya.

Pada PRU14, Bujang yang bertanding atas tiket Bebas memperoleh 15 undi dalam saingan empat penjuru sekali gus menyaksikannya hilang deposit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast