Calon Perikatan Nasional (PN) N24 Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas selesai menyerahkan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah di Pejabat Daerah Dan Tanah Sik, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 29 JULAI 2023.

SIK – Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi menjelaskan siapa calon Menteri Besar Kedah akan ditentukan oleh pucuk pimpinan gabungan itu.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu berkata, jika ditanya kepada beliau, calon Menteri Besar belum ditentukan lagi.

“Tak thau lagi (jadi MB), parti akan kemuka cadangan pada tuanku (Sultan Kedah), terpulang kepada tuanku,” katanya kepada media selepas selesai menghantar borang pencalonan di  Pejabat Daerah Sik.

Jelas Sanusi, setakat proses penamaan yang selesai hari ini, beliau belum mengetahui siapa calon MB dan ia akan diserahkan kepada kebijaksanaan Sultan Kedah untuk menentukannya.

Ditanya mengenai kontroversi yang menghimpit beliau mutakhir ini, Sanusi berkata, beliau akan menjawab satu persatu tuduhan yang dilempar ke atasnya oleh pihak lawan.

“Kontroversi itu orang kata sahaja? Seminggu dua ini akan ada lagi serangan, saya akan jawab apa yang saya boleh jawab, saya jawab. Yang tak boleh jawab saya serah kepada Allah. Kalau ada asas kita jawablah,” katanya.

Dalam pada itu, Sanusi melahirkan keyakinan bahawa gabungan PN akan dapat memenangi dua kerusi DUN di Parlimen Sik.

“Saya harap para penyokong yang telah memberi undi kepada PN dalam PRU15 peringkat parlimen akan kekal.

“Kalau ikut undi Parlimen dulu Jeneri, PN menang 10,000 majoriti. Jadi saya harap angka itu kekal,” katanya. – MalaysiaGazette