BAYAN LEPAS – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz menyifatkan kesatuan Perikatan Nasional (PN) tidak kukuh di sini, menjadi kekuatan buat PH.
Beliau yang juga penyandang kerusi berkenaan berkata, pihaknya tidak sangka kerusi Bayan Lepas antara kerusi panas bagi PRN15 Pulau Pinang susulan penamaan Presiden Gerakan, Dominic Lau dikatakan mendapat tentangan gabungan parti PN.
“Saya pun tak sangka tiba-tiba Bayan Lepas ‘meletup’, padahal Sabtu baru kita dah meletup dengan 30 biji rumah rosak dilanda ribut.
“Bagaimanapun, kita (PH) di Bayan Lepas ready (siap sedia) siapa saja jadi pencabar kita kerana yakin pengundi sudah buat decision (keputusan) dalam tempoh lima tahun lalu untuk pangkah (undi) siapa.
“InsyaAllah, kita nampak kesatuan mereka (PN) tak kukuh dan disitulah beri kekuatan balik kepada PH,” katanya kepada pemberita selepas selesai pengumuman calon N38 DUN di Dewan Bukit Belah, Teluk Kumbar di sini, hari ini.
Sementara itu, ketika diminta mengulas apa pandangan beliau terhadap pencabarnya, Azrul Mahathir berkata, sesiapa saja boleh bertanding dalam pilihan raya dan itu hak masing-masing.
DUN Bayan Lepas menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Azrul Mahathir dengan Presiden Gerakan, Dominic Lau Hoe Chai yang mewakili PN.
Dominic Lau merupakan calon pertama yang menyerahkan borang pencalon kepada pegawai SPR kira-kira jam 9.03 pagi dan diikuti Azrul Mahathir lima minit kemudian.
Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon DUN Bayan Lepas, Mohd Hafiz Aswad Nazri. – MalaysiaGazette