KUALA SELANGOR – Calon Pakatan Harapan (PH) PKR, Thiban Subramaniam yakin akan mengekalkan kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Hari ini sah kerusi DUN Bukit Melawati bakal menyaksikan persaingan dua penjuru antara Thiban (PH) dan calon Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu, Noorazley Yahya.
Untuk maklumat, penyandang terdahulu ialah Juwairiya Zulkifli yang akan bertanding di kerusi DUN Hulu Kelang dan berdepan dengan bekas mentornya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Bercakap dengan MalaysiaGazette, Thiban berkata, dirinya optimis dengan sokongan masyarakat setempat memandangkan dirinya juga dalam kalangan anak tempatan yang sudah lama berkecimpung bukan sahaja politik sebaliknya khidmatnya kepada rakyat.
“Saya yakin dan saya amat berharap kemenangan kerusi ini dapat dikekalkan. Melihat momentum dari bawah, sememangnya penduduk di sini yakin dengan PH terutamanya perkhidmatan wakil rakyat selama belasan tahun.
“Antara fokus utama saya ialah menamatkan kemiskinan selain meningkatkan pendapatan rakyat dan mempromosi kawasan itu sebagai pusat pelancongan. Bukit Melawati berada dalam daerah Kuala Selangor yang juga merupakan daerah kedua termiskin di Selangor.
“Hakikatnya saya tidak hanya bercakap sebaliknya telah menunjukkan komitmennya untuk menangani kemiskinan tegar dengan mengambil inisiatif khusus dengan membantu lebih dari 100 keluarga. Fokus saya juga untuk menangani isu miskin tegar dan itu juga akan menjadi keutamaan di DUN Bukit Melawati kelak,” katanya.
Thiban yang juga pegawai khas kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berpengalaman dalam gerak kerjanya sebagai Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan pengasas Unit Sitham untuk masyarakat India Selangor.
“Selain membasmi kemiskinan, saya juga tekad untuk meningkatkan sosio-ekonomi di kawasan luar bandar, termasuk Bukit Melawati. Untuk makluman juga, saya telah berkecimpung selama lebih lapan tahun bersama masyarakat selama saya bersama PKR,” ujarnya. – MalaysiaGazette