remeh
Calon Barisan Nasional N.27 Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama calon Perikatan Nasional N.27 Rantau, Rozmal Malakan (kiri) bergambar selepas selesai menyerahkan borang pencalonan pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) di Sekolah Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 29 JULAI 2023.

SEREMBAN – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak memandang remeh pencabarnya dari Perikatan Nasional (PN), Rozmal Malakan.

Penyandang kerusi DUN Rantau selama empat penggal itu berkata, beliau menghormati sesiapa sahaja yang bertanding dalam pilihan raya.

“Dia seperti main bola, bola itu bulat, situasi berbeza, isu-isu semasa berbeza,” katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon bagi kerusi tersebut di Sekolah Kebangsaan Sri Sendayan di sini, hari ini.

Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kerusi DUN Rantau, Norazam Nayan mengumumkan pertembungan satu lawan satu antara Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat dan Rozmal.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berharap agar semua pengundi di DUN Rantau memberi sokongan lagi kepada BN.

Mohamad memberitahu, bagi mencapai matlamat tersebut, jentera dan penyokong BN perlu memulakan gerak kerja kempen di sekitar kawasan DUN Rantau dan menyantuni seramai mungkin pengundi.

“Mereka seharusnya memberi penerangan mengenai isu-isu semasa bagi memenangi hati pengundi,” jelasnya.

Mohamad menambah, beliau juga akan lebih kerap menggunakan media sosial untuk menyantuni pengundi muda.

Sementara itu, Rozmal yang kali pertama bertanding dalam pilihan raya yakin mempunyai peluang untuk memenangi kerusi DUN Rantau walaupun dianggap sebagai calon bukan pilihan berbanding Mohamad.

“Peluang itu ada, bergantung kepada jentera kita dan pengundi. Kalau kita dapat yakinkan pengundi lebih 50 peratus, insya-Allah peluang itu ada.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Rembau menambah, platform media sosial seperti TikTok dan Facebook akan dimanfaatkan bagi memberi penerangan kepada pengundi.

Rozmal juga akan mengetengahkan isu-isu berkaitan kos sara hidup dan kenaikan harga barang semasa berkempen. – MalaysiaGazette