KUALA LUMPUR – Pertukaran calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah proses biasa.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia dibuat sekiranya dilihat ada keperluan dan perkara itu bukan menjadi satu masalah.
“Itu proses biasa, kalau ada keperluan kita tukar. PH ada tukar tiga calon saat akhir iaitu di Kota Damansara serta di Kelantan dan Terengganu, bukan satu masalah,” katanya selepas bersarapan di Restoran Hameediyah, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi dua negeri berkenaan tidak diperincikannya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pertukaran saat akhir calon PKR di kerusi DUN Kota Damansara.
“Bagi Kota Damansara, Izuan ini ialah Ketua AMK Selangor dan PKR pun tidak ada calon AMK di Selangor. Jadi saya rasa perlu ada pertimbangan meletakkan Izuan sebagai calon dan harap ia disambut baik,” ujarnya.
Sebelum ini, Anwar mengumumkan Aidi Amin Yazid bertanding di DUN Kota Damansara pada malam pengumuman calon PRN bagi PKR Selangor.
Bagaimanapun, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari pada lewat malam tadi mengumumkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Izuan Ahmad Kasim sebagai pengganti saat akhir. – MalaysiaGazette