Calon BN Mohamad Khir Ramli (kiri) bersalam dengan calon PN Dr. Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin sambil diperhatikan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Raiz Radzuan.

TANJONG KARANG – Pilihan raya negeri (PRN) Dewan Udangan Negeri (DUN) Sungai Burong di sini menyaksikan pertandingan satu lawan satu yang melibatkan dua personaliti yang digelar ustaz oleh penduduk tempatan.

Barisan Nasional meletakkan Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Mohamad Khir Ramli, 53 sebagai calon.

Manakala Pas menampilkan personaliti agama Dr. Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin, 44, yang lebih dikenali sebagai Dr. Zamri Mantop.

Mohamad Khir mempunyai latar belakang mengajar pendidikan agama di empat buat sekolah kebangsaan dari 1990 hingga 1999 dan kemudian bertugas di pejabat agama di Selangor sehigga 2008.

Beliau kemudian bekerja di pejabat menteri sebelum memulakan perniagaan dalam bidang penternakan ayam daging.

Ayah kepada sembilan orang anak itu berkata, beliau akan mengekalkan personaliti sebagai seorang agamawan ketika menjalankan kempen pilihan raya nanti.

“Dari dulu prinsip saya kalau berkempen nak bertanding saya bawa diri. Bab mengumpat, mengata ini tidak ada dalam dairi hidup saya.

“Saya memang rapat dengan calon PN dan kenal lama, kita bertanding secara sihat.

“Bawa identiti ustaz, kalau kita lari orang akan kata macam tu ke ustaz ini. Kita kena tunjuk sikap yang baik supaya menjadi contoh dan tauladan kepada orang di bawah sana,” jelasnya.

Mohamad Khir adalah muka baharu yang dipertaruhkan UMNO bagi menggantikan penyandang kerusi tersebut, Datuk Mohd Shamsudin Lias.

Sementara Mohd. Zamri pula merupakan Ketua Dewan Ulama Pas Selangor dan Yang Dipertua Pas Kawasan Tanjong Karang.

Bapa kepada enam oranng anak itu mendapat pendidikan dalam bidang tafsir dan ulum al-Quran daripada Madinah International University.

Mohd. Zamri yang merupakan usahawan pelancongan dan pusat latihan bina modal insan membuat penampilan kedua selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Persiapan lebih baik daripada PRU-14, umur waktu itu 30-an baru balik kampung beberapa tahun, kali ini lebih lama, orang banyak kenal, keyakinan lebih tinggi kali ini.

“Ceramah macam biasa, saya sendiri lebih gemar mengetengahkan visi gagasan tempatan untuk ditawarkan kepada masyarakat. Lain-lain lebih kepada taaruf dan berkenal-kenalan,” kata beliau.

Kedua-dua mereka yang memakai baju Melayu berwarna biru hadir serentak pada pukul 9.00 pagi di Pusat Penamaan Calon Dewan Dato’ Hormat Tanjung Karang, di sini, hari ini.

Mohamad Khir menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.06 pagi dan Mohd. Zamri empat minit kemudian.

Kedua-dua borang telah diterima oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Sungai Burong Mohd Raiz Radzuan yang juga Pegawai Daerah Kuala Selangor.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohd Shamsudin dari BN menang dan memperoleh 8,741 undi dengan 2,330 majoriti.

Beliau menewaskan Mohd Zamri yang mendapat 6,411 undi dan calon PKR Mohd. Tarmizi Lazim yang memperoleh 5,323 undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast