Dominic (kanan) mengadakan walkabout di kawasan perumahan Jalan Kolam Ikan di Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.

BAYAN LEPAS – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas, Datuk Dominic Lau Hoe Chai masih menepis dakwaan tiada jentera atau wakil Pas membantunya dalam Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15).

Ia susulan kempen serta sesi walkabout yang dilakukannya sejak semalam dilihat tiada kelibat wakil Pas.

Beliau yang juga Presiden Parti Gerakan mendakwa ada ahli Pas bersamanya sejak hari penamaan calon termasuk membantu kempen.

Dominic.

“Bukan semua kempen ada komponen parti, hari ini saya tak nampak ada wakil Bersatu ikut sama kerana saya nak jumpa orang India dan Cina. Jadi setiap program atau kempen itu ada pegawai perhubungan yang kendalikan.

“Memang kalau komponen parti ikut semua (kempen) lebih baik tapi bukan ikut program saja menunjukkan gabungan parti mempunyai kerjasama.

“Kita ada pembahagian kerja yang perlu diuruskan jentera termasuk dari segi pasang bendera, bantu kita dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan lain-lain,” katanya kepada pemberita pada walkabout di kawasan perumahan Jalan Kolam Ikan di sini hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau sudah mengadakan perjumpaan dengan Setiausaha Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim iaitu individu yang disebut-sebut calon mewakili Pas untuk DUN Bayan Lepas, Dominic ada menghubungi Iszuree menerusi aplikasi WhatsApp sebelum hari penamaan calon.

Katanya, beliau juga mengadakan pertemuan dengan ahli Pas kawasan berkenaan namun hanya membabitkan beberapa cawangan sahaja.

“Seperti saya maklumkan sebelum-sebelum ini, isu berbangkit (Gerakan bertanding kerusi Pas) akan diselesaikan secara dalaman dan ia hanya masalah komunikasi dan salah faham yang berlaku antara PN Pulau Pinang.

”Dari peringkat pusat, negeri dan cawangan ada cadangan dan pandangan jadi kita cuba terangkan dengan harapan mereka terima kerana objektif kita satu iaitu menangkan PN,” katanya.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan, pimpinan Pas Pulau Pinang akan mengadakan perjumpaan dengan Pas Bayan Lepas berhubung dakwaan ‘memboikot’ calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dominic Lau Hoe Chai yang bertanding kerusi berkenaan.

Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, perjumpaan untuk membincangkan isu berbangkit itu akan dilakukan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast