Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berselawat bersama tetamu yang hadir pada Majlis Darul Ehsan Berselawat di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam. Foto WAN NABIL NASIR, 29 JULAI 2023.

SHAH ALAM – Pelaksanaan program zikir dan selawat akan diperluas ke seluruh negara bagi mengingati Allah dan Nabi Muhammad SAW dalam kalangan umat Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program sedemikian penting bagi memupuk nilai murni dan akhlak Rasulullah yang selaras dengan konsep Malaysia Madani.

“Alhamdulillah, malam ini kita gegarkan Stadium Melawati tetapi saya percaya dalam negara Madani, acara-acara berselawat ke atas nabi seperti ini akan kita gegarkan lagi ke seluruh negara tercinta.

“Negara Madani ini ditegakkan dengan nilai dengan akhlak (Nabi Muhammad SAW), maka (selepas ini) bergemalah seluruh negara semangat kesedaran dalam berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

“Saya rasa bersemangat untuk meneruskan acara penting ini, terima kasih kepada saudara (Menteri Besar Selangor) Datuk Seri Amirudin Shari yang memberikan gegaran selawat dari Selangor,” katanya semasa berucap pada Darul Ehsan Berselawat 2.0 di Stadium Tertutup Malawati di sini malam ini.

Antara tetamu yang hadir pada Majlis Darul Ehsan Berselawat di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam. Foto WAN NABIL NASIR, 29 JULAI 2023.

Majlis agama dengan tema ‘Bernafas dalam Hawqalah, Fakir Ila Allah,’ ini dianjurkan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) dengan kerjasama Pertubuhan Damai dan Cinta Insani (Pendamai).

Ia pertama kali diadakan pada 14 Januari lalu dan diteruskan susulan sambutan yang menggalakkan.

Anwar berkata, beliau akan memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri yang sedang berlangsung sebelum program berselawat itu diadakan di serata negara.

“Biarlah selepas (selesai) sibuk pilihan raya, tak mahu ganggu. Selepas itu, Insya-Allah, kita akan mengadakan majlis seperti ini kerana ia meniup dan mengetuk pintu hati nurani umat.

“Supaya ada kesedaran untuk menyegarkan hidup kita dengan mengingati dan mencintai Nabi Muhammad SAW,” ujarnya.

Terdahulu, Anwar yang tiba pukul 9.30 malam menyertai Amirudin dan lebih 5,000 tetamu berqasidah, berselawat dan berzikir ke atas Nabi Muhammad SAW.

Tampil pada majlis malam ini termasuk ulama serta pendakwah terkenal seperti Sheikh Abu Zaki, Neezam Al-Banjari dan beberapa ilmuwan Dr Ahmad Farkhurrazi Mohammed Zabidi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast