Chow Kon Yeow.

PERAI – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berpendirian untuk tidak mengulas mengenai isu kononnya terdapat ‘maharaja’ di negeri itu yang telah memilih barisan exco kerajaan negeri selepas Pakatan Harapan (PN) mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bagaimanapun, beliau yang juga calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota Lama itu memberitahu buat masa ini fokus utama hanyalah untuk memenangkan semua calon gabungan Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

“Kalau (PH) menang, saya boleh angkat sumpah sebagai Ketua Menteri, kemudian barulah saya akan fikir untuk menentukan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) yang bakal dibentuk nanti.

“Malah pembentukan barisan exco itu akan membabitkan semua parti yang menang dalam PRN Pulau Pinang kali ini bukan sekadar membabitkan DAP sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang menambah proses pelantikan barisan exco itu hanya akan dilaksanakan oleh ketua menteri yang akan mengangkat sumpah memimpin kerajaan negeri nanti.

“Hakikatnya, barisan Exco memang perlu dibentuk namun proses berkenaan akan dibuat selepas wujudnya Ketua Menteri dan ini memang tanggungjawab dia untuk membentuk kerajaan negeri.

“Saya ulangi pendirian yang barisan exco kerajaan negeri akan dilantik, membabitkan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan tetapi adalah masih terlalu awal untuk kita menyatakan apa-apa mengenainya,” katanya lagi.

Beliau mengajak para penyokong dan semua pihak bersabar dan tidak membuat spekulasi soal pelantikan barisan exco sebaliknya terus memberi komitmen sepanjang kempen PRN selama dua minggu ini bagi memberi kemenangan besar kepada calon PH. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast