Calon Barisan Nasional (BN) N24 Jeneri, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim diraikan oleh penyokong selepas selesai menyerahkan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah di Pejabat Daerah Dan Tanah Sik, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 29 JULAI 2023.
Calon Barisan Nasional (BN) N24 Jeneri, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim diraikan oleh penyokong selepas selesai menyerahkan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah di Pejabat Daerah Dan Tanah Sik, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 29 JULAI 2023.

SIK – Populariti yang dibina oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada penduduk Kedah termasuk sekitar Jeneri.

Itu pandangan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim.

Beliau yang merupakan satu-satunya lawan Muhammad Sanusi di situ mendakwa populariti Menteri Besar Kedah itu langsung tidak memberikan apa-apa manfaat kepada pengundi DUN Jeneri.

“Populariti yang Sanusi buat ini pada saya sudah dirancang kerana gelombang golongan muda yang taksub kepada media sosial. Populariti yang dia cipta itu tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada masyarakat di Sik terutamanya di Jeneri.

“Boleh dia tunjuk sepanjang tiga tahun, apa yang dia sudah buat di Sik dan sedangkan di sektor pendidikan sekali pun SPM daerah Sik antara yang tercorot di Malaysia, pada saya populariti langsung tidak membawa apa-apa manfaaat kepada pengundi Sik,” katanya dalam temubual eksklusif bersama MalaysiaGazette hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kerusi DUN Jeneri hanya ditanding dua calon iaitu Muhamad Khizri yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan Sanusi yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Calon Barisan Nasional (BN) N24 Jeneri, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim selepas selesai menyerahkan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah di Pejabat Daerah Dan Tanah Sik, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 29 JULAI 2023.

Tambah Ketua UMNO Bahagian Sik itu lagi, apa guna jika Sanusi dikenali di seluruh negara namun Kedah masih dikenali sebagai negeri kedua termiskin di Malaysia.

“Apa yang boleh ditunjukkan oleh kepimpinan beliau? Daripada segi data, kita boleh bercakap seperti dia umum pelaburan RM40 bilion nak buat itu ini tapi FDI (pelaburan asing) ada di MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) bukan boleh kata (cakap) sahaja.

“Tapi MIDA menunjukkan adalah kosong peratus jadi kalau kita bercakap di kampung nampak macam megah tapi hakikatnya tidak ada apa,” kata Muhamad Khizri.

Jelas beliau lagi, apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah mengambil tampuk pentadbiran Putrajaya semakin mendapat perhatian daripada penduduk sekitar Sik.

Muhamad Khizri turut melahirkan keyakinan untuk merampas kerusi ini sekiranya mendapat sokongan penuh daripada UMNO dan Pakatan Harapan.

“Saya nampak apa yang perdana menteri buat sudah mula berikan kesan biarpun skala masih menegak tapi sudah ada unjuran yang boleh kita nilai.

“Jumlah undi 12,000 beza dengan Perikatan Nasional semasa Parlimen Sik saya kena dapatkan balik undi UMNO dan undi penyokong PH diberikan kepada saya, dengan 3,00 lebih undi masyarakat Siam kepada saya, mana tahu saya menang,” katanya.

Beliau berpendapat, jika kerajaan menumpukan kepada pembangunan pendidikan di Sik, langkah itu akan merancakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitar DUN Jeneri dibawah Parlimen Sik.

“Saya sudah bercakap dengan kepimpinan agar segerakan pembinaan Maktab Rendah Sains MARA Ulul Albab yang telah dirancang sekian lama di Cherok Tala di mana tanah sudah diberikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette