KUALA LUMPUR – Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman menyahut cabaran Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk berdebat.
Ahli Parlimen Bachok itu berkata, beliau kini di Kelantan sambil menunggu surat yang dikatakan diutus oleh Ahli Parlimen Pandan itu.
“Patutlah batuk-batuk sejak semalam. Rupanya ada orang jauh sebut-sebut nama kita. Saya ada di Bachok ini. Kita tunggulah surat itu sampai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mohd Syahir turut menyertakan bersama empat rangkap pantun yang ditujukan kepada Rafizi yang juga Menteri Ekonomi itu.
“Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga, Hancur badan di kandung tanah, Janji yang baik dikenang juga.’
Semalam, media melaporkan, Rafizi kini beralih arah dengan mencabar Mohd Syahir untuk berdebat dengannya mengenai hal ehwal ekonomi.
Cabaran itu diutarakan oleh Rafizi selepas bekas Menteri Kanan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menolak tawaran berdebat dengannya. – MalaysiaGazette