Calon Barisan Nasional (BN) N.04 Ayer Hitam, Hayazi Azizan bergotong royong mengacau bubur Asyura bersama penduduk kampung semasa mengadakan walkabout sempena Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Kedah di Kampung Lana Bulu, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 30 JULAI 2023.

JERLUN – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam menarik perhatian pada pilihan raya negeri apabila menyaksikan pertembungan anak murid bersama bekas gurunya.

Calon Barisan Nasional (BN) DUN Ayer Hitam, Hayazi Azizan, 44, bertembung penyandang kerusi tersebut, Azhar Ibrahim atau lebih dikenali Cikgu Azhar.

Bagi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerlun itu, biarpun menentang bekas gurunya, namun itu tidak akan mengurangkan rasa hormat beliau terhadap Cikgu Azhar.

“Walaupun dia pernah ajar saya satu patah perkataan sekali pun, dia masih guru saya. Dari segi politik, lain hal.

“Tidak ada dakwaan derhaka, tapi kalau fahaman politik penyokong dia, saya tidak tahu. Bagi saya, saya tidak ada niat nak derhaka kepada cikgu, sebab saya masih hormati beliau,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan DUN Ayer Hitam ditentang dua calon antara Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan BN bagi kerajaan perpaduan.

Calon Barisan Nasional (BN) N.04 Ayer Hitam, Hayazi Azizan selepas bergotong royong mengacau bubur Asyura bersama penduduk kampung semasa mengadakan walkabout sempena Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Kedah di Kampung Lana Bulu, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 30 JULAI 2023.

Azhar sebelum ini memenangi kerusi DUN Ayer Hitam dengan majoriti 537 undi pada Pilihan Raya Umum (PRU15) lalu.

Mengulas lanjut, Hayazi berkata, beliau tidak boleh menghalang sekiranya ada pihak memainkan dakwaan isu derhaka antara beliau dan Cikgu Azhar.

“Ini soal politik dan saya mengharapkan penyokong kedua-dua pihak sama ada BN dan PN, jaga tatasusila dan dengar pihak keselamatan.

“Selepas tempoh dua minggu ini, kita kembali ke asal dan tidak mahu berlarutan dan bergerak ke hadapan,” katanya lagi.

Hayazi turut berkata Cikgu Azhar adalah seorang guru yang garang dan juga mesra.

Menyifatkan lawannya itu adalah seorang guru yang berdedikasi, Hayazi berkata, hubungan beliau dan Azhar adalah baik sahaja.

“Cikgu Azhar ini garang dan kemesraan itu ada dan ada juga yang cengai (garang), ada juga boleh bergurau senda. Hubungan dia dengan anak murid ini biasa sahaja,” katanya lagi.  – MalaysiaGazette