Nik Mohamad Amar Abdullah

KOTA BHARU – Penyandang kerusi DUN Panchor, Datuk Mohd Amar Abdullah tidak menganggap gangguan daripada seorang ahli keluarga Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh menjejaskan sokongan pengundi terhadapnya.

Beliau yang kali ketujuh bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, yakin akan kekal mempertahankan kerusi DUN itu pada 12 Ogos ini, walaupun ada sedikit ‘masalah’ berlaku dalam parti itu selepas selesai proses penamaan calon semalam.

“Kenyataan bersifat marah Nik Din Nik Mat apabila nama anak saudaranya, Nik Abduh tiada dalam senarai calon Pas semalam, tidak menjejaskan sokongan pengundi terhadap Perikatan Nasional (PN).

“Malah, kenyataan itu bersifat fitnah apabila menuduh saya yang menghalang anak arwah Tok Guru dicalonkan di DUN Chempaka.

“Macam mana dia (Nik Din) boleh tuduh begitu pun saya tak tahu, sedangkan dia tidak terlibat dalam mesyuarat pimpinan parti, selain tidak ada sebarang jawatan pun dalam parti,” katanya di Kota Bharu, hari ini.

Beliau menjawab video yang tular di media sosial mengenai tuduhan Nik Din terhadapnya yang mendakwa, Nik Abduh tidak dicalonkan adalah kerjanya.

“Ini kerja Nik Amar jahat dan dia tak bagi kepada Nik Abduh dan sampai di telinga saya dia tak bagi keluarga tok guru Nik Aziz bertapak di kawasan Pengkalan Chepa,” kata Nik Din.

Beliau turut mendakwa, Mohd Amar menjadi punca anak saudaranya tidak dicalonkan dalam PRN di Kelantan.

Mengulas lanjut, Mohd Amar mempersoalkan dari mana Nik Din mendakwa ada surat daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kerana baginya itu tidak benar.

Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, nama Nik Abduh yang merupakan bekas Ahli Parlimen Bachok itu tidak tersenarai sejak awal lagi sebagai calon di kerusi DUN Chempaka. – MalaysiaGazette