Syerleena (empat dari kiri) bercakap pada sidang media berhubung laporan polis dibuat pihaknya terhadap Muhyiddin di Wisma DAP Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – DAP Pulau Pinang membuat satu laporan polis terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan Kerajaan Perpaduan dikendalikan bukan Melayu susulan isu kalimah Allah.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan terhadap Muhyiddin membabitkan ucapannya.

Beliau juga melabelkan PN sebagai sebuah parti munafik susulan masih memainkan isu agama, kaum dan raja (3R) meskipun telah berjanji pada Jun lalu tidak akan menyentuh elemen tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Tindakan menunggang agama demi memecahbelahkan rakyat bagi mendapat manfaat politik bukan sahaja tidak beretika, malah merupakan pengkhianatan terhadap prinsip-prinsip yang menyatukan negara.

“Penyalahgunaan kaum dan agama dalam kempen politik adalah satu jalan merbahaya yang mengancam fabrik masyarakat majmuk di Malaysia.

“Tindakan ini juga menunjukkan parti tersebut dipenuhi penipuan semata-mata dan tidak wajar lagi rakyat memberi perhatian kepada mereka ini,” katanya pada sidang media di Wisma DAP Pulau Pinang di Jalan Rangoon, di sini, hari ini.

Tambah Syerleena, tindakan Muhyiddin juga dilihat untuk memecahbelahkan rakyat dengan meniupkan ketakutan berkaitan sentimen agama.

“Pemimpin politik sepatutnya perlu komited pada isu-isu yang memberi kesan kepada rakyat bukannya mengeksploitasi sentimen kaum dan agama untuk manfaat politik singkat.

“Politik menakut-nakutkan dan menunggang agama adalah seperti racun yang meresap ke hati dan minda masyarakat dibimbangi mampu menukar jiran menjadi musuh.

“Sehubungan itu, saya menggesa rakyat Malaysia bangkit dan menolak politik perkauman dan agama yang boleh menghancurkan nilai dan aspirasi kita bersama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast