Azam meninjau Bilik Gerakan PRU SPRM selepas Majlis Pelancaran Pemakaian Kamera Badan dan Jaket di Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Seorang ejen yang disyaki meminta bayaran bagi membantu seorang warga China yang tidak dibenarkan memasuki negara ini bulan lalu difahamkan sudah melarikan diri.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya tidak dapat mengesan ejen dan juga warga China terbabit.

“Kami menyemak rekod Imigresen dan sistem menunjukkan kedua-duanya sudah meninggalkan negara ini,” katanya selepas Majlis Pelancaran Pemakaian Kamera Badan dan Jaket di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan dua individu terbabit masih berada dalam negara, Azam menggesa pihak-pihak yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil bagi membantu siasatan SPRM.

Katanya, pada masa ini, beliau sudah mengarahkan agensinya supaya menamatkan siasatan dan menyerahkan laporan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Awal bulan ini, Azam dilapor berkata, SPRM sedang menjejaki ejen dipercayai warga asing atas dakwaan meminta bayaran bagi membantu seorang warga China selepas dia didakwa ditahan daripada memasuki Malaysia.

Ejen itu dipercayai dikaitkan dengan syarikat dilantik sekumpulan syarikat penerbangan bagi menguruskan pelancong dikenakan Notis Tolak Kemasukan (NTL).

Pada akhir Jun lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengakui, beliau ialah menteri dikaitkan dengan kekecohan di balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membantu seorang warga China dilarang memasuki Malaysia.

Beliau turut mendakwa wujud budaya rasuah dalam segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa di pintu masuk negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut mengakui budaya rasuah masih berlaku dalam kalangan penguat kuasa tetapi, hanya membabitkan segelintir mereka di KLIA.

Azam berkata, SPRM sudah mengambil keterangan sekurang-kurangnya 14 individu terbabit dalam kekecohan itu, termasuk Tiong, wanita China terbabit dan lapan pegawai imigresen. – MalaysiaGazette