Tan Gia Wei calon Gerakan PN di DUN Bukit Tambun semasa ditemubual MalaysiaGazette baru-baru ini.

BATU KAWAN – Calon Perikatan Nasional (PN)dari Gerakan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Tambun Tan Gia Wei mengakui berdepan cabaran untuk mendekati dan memujuk komuniti Bukit Tambun.

Katanya, ini kerana Gelombang Hijau yang digembar-gemburkan oleh pihak lawan  menjadi satu isu yang perlu diambil serius.

Menurut Gia Wei, Gelombang Hijau yang digempar-gempurkan oleh pihak lawan  hanyalah taktik menakutkan pengundi bukan Islam mengenai Pas.

“Saya tahu, sudah pasti seribu satu persoalan berlegar dalam diri setiap pengundi di Bukit Tambun mengenai Gerakan dan kerjasamanya dengan Pas dalam PN.

“Sedangkan tiada apa yang membimbangkan seperti yang anda fikirkan, tolong ketepikan isu itu dan sokong PN,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas kempen bertemu pengundi di kawasan Bukit Tambun semalam.

Sambil memberi contoh, beliau meminta pengundi-pengundi Bukit Tambun melihat  pemerintahan Pas di Kedah.

“Adakah Pas ambil tindakan jika memakai seluar pendek atau menghalang menggunting rambut di kedai bukan Islam? Jawapannya tidak..ini bukti Pas mendampingi semua lapisan masyarakat tanpa memilih bulu,” katanya.

Memasuki hari kedua berkempen PRN, Gia Wei akan menggunakan setiap masa untuk turun bertemu pengundi di kawasan perniagaan dan gerai makanan untuk menjelaskan tentang Pas yang tidak memusuhi mana-mana komuniti dan kesediaan PN untuk membela nasib setiap lapisan masyarakat di negeri ini jika diberi mandat.

Ditanya mengenai peluang untuk menang menentang calon Pakatan Harapan (PH) yang merupakan penyandang kerusi tersebut, Gia Wei berkata, beliau tidak gentar dengan calon lawannya.

Kata beliau, walaupun lawannya sudah berkhidmat di kawasan itu selama satu penggal sejak 2018 namun masih terdapat beberapa kekurangan yang gagal diberi perhatian sewajarnya oleh calon Pakatan Harapan itu.

“Kenapa saya perlu risau dengan calon PH, ini kempen yang demokrasi, saya akan mengetengahkan isu-isu yang mahu saya tangani untuk penduduk Bukit Tambun jika diberi peluang mewakili mereka pada 12 Ogos nanti.

“Saya akan menyediakan manifesto khusus PN untuk warga Bukit Tambun dan ia akan dimasukkan dalam Manifesto Perikatan Nasional untuk negeri Pulau Pinang yang akan diperkenalkan semasa ceramah oleh kepimpinan tertinggi PN nanti.

“Apa yang penting adalah pengundi setempat perlu memberi peluang kedua dan  yakin dengan keupayaan PN Gerakan untuk membela segala permasalahan mereka di negeri ini,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast