Calon Barisan Nasional N.01 Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail melihat keadaan paras air yang sering dialami sewaktu banjir di Kampung Batu 38, Baroh, Sabak Bernam, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 30 JULAI 2023.

SABAK BERNAM – Pam air tambahan di kunci air Kampung Bharu di sini antara penyelesaian jangka pendek boleh dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menangani masalah banjir termenung.

Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail sudah mencadangkan perkara itu kepada pihak berkuasa terbabit untuk menyelesaikan rungutan penduduk Kampung Batu 38 Baroh di sini.

“JPS sudah berusaha untuk mengurangkan masalah banjir kilat ini. Bagaimanapun hanya sedikit tempat di Kampung Batu 38 Baroh yang masih lagi berlaku banjir kilat apabila musim hujan.

“Saya sudah berbincang dengan JPS, kalau boleh mereka dapat tengok atau mewujudkan pam air di kunci di Kampung Bharu.

“Sekiranya berlaku banjir kilat, aliran air ini dapat cepat keluar dan mengalir ke sungai,” katanya kepada MalaysiaGazette di Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Air Tawar di sini hari ini.

Terdahulu, Rizam menyantuni beberapa penduduk yang terjejas akibat banjir kilat di Kampung Batu 38 Baroh di sini.

Pada Disember tahun lepas, Kampung Batu 38, Baroh ditenggelami banjir kilat di mana keadaan itu berlarutan selama tujuh hari hingga menjejaskan aktiviti dan kehidupan harian penduduk.

Penyelesaian masalah banjir itu antara manifesto Rizam untuk mempertahankan kerusi Dewan Negeri Sungai Air Tawar dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Selangor pada 12 Ogos ini.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU14), Rizam mewakili BN memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,440 undi selepas memperoleh 5,437 undi menewaskan Zamri Yahya (Pas) dan Mohd Hamizar Sulaiman (PH). – MalaysiaGazette