Datuk Seri S Surash. Foto: Shahrin Zamzuri

JEMPOL – Isu kebajikan golongan peneroka Felda, Orang Asli dan pekerjaan menjadi fokus utama dalam kempen calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Seri S. Surash.

Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Negeri Sembilan itu berkata, semua keperluan itu menjadi keutamaan penduduk berdasarkan gerak kerja aktif yang dilakukannya sejak beberapa tahun lalu.

“Contohnya, di Felda Palong 1 dan 2, peneroka di sana beritahu tidak mempunyai pusat dialisis dan terpaksa keluar jauh untuk mendapatkan rawatan tiga kali seminggu.

“Hampir 5,000 penduduk di sini dan ramai juga dalam kalangan mereka memerlukan rawatan sebab itu saya akan mewujudkan pusat dialisis sekiranya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 12 Ogos ini,” katanya kepada pemberita, di sini.

Menurut ahli perniagaan itu, dia turut akan memperjuangkan rumah generasi kedua untuk anak-anak peneroka bagi menjamin masa depan yang lebih baik.

“Saya juga akan memastikan anak-anak muda di DUN ini mendapat keutamaan peluang kerja setempat di kawasan perindustrian di Nilai dan Senawang yang selama ini dimonopoli pekerja asing.

“Selain itu, masyarakat Orang Asli juga tidak akan dipinggirkan dan saya akan memastikan kampung mereka dilengkapi bekalan asas elektrik dan air berbanding jalan tar bukanlah menjadi keperluan mendesak,” katanya.

Surash yang juga merupakan bekas ahli MIC berkata, sebagai anak kelahiran Kampung Ladang Bahau beliau lebih memahami isu setempat.

Ia termasuk pekerja ladang kelapa sawit yang hilang pekerjaan akibat kemasukan pekerja warga asing Nepal dan Bangladesh.

“Itu juga antara tumpuan saya memastikan masyarakat India di sini dapat terus bekerja di ladang sawit seperti sebelum ini,” katanya yang pernah bertanding sebagai calon Bebas di kerusi sama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)

Pada PRN 12 Ogos ini, ahli perniagaan itu bakal berdepan calon muka baharu mewakili BN, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir.

Ketika PRU14, Surash tewas kepada Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk L. Manickam di kubu kuat MIC itu sejak 30 tahun lalu.

Manickam memperoleh 3,702 undi menewaskan Surash yang mendapat 2,640 undi, calon Parti Keadilan Rakyat (2,302) dan Pas mendapat 785 undi. – MalaysiaGazette