Calon PH Dun Hulu Kelang, Juwairiya hadir menyantuni penduduk AU5 Keramat malam tadi.

HULU KELANG – Rakyat Selangor sudah menikmati kestabilan ekonomi untuk jangka masa panjang dengan rekod kerja kerajaan negeri yang cemerlang selepas diterajui oleh Pakatan Harapan (PH).

Justeru, tiada sebab untuk pengundi Selangor berpaling tadah kepada yang lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali optimis kecemerlangan ini juga membuatkan rakyat di negeri ini akan terus memberi sokongan kepada calon-calon PH dan Barisan Nasional (BN).

“Lagipun kebersamaan kerajaan negeri dan kerajaan pusat adalah penting supaya perancangan pembangunan rakyat dapat berjalan serentak lebih-lebih Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah umum kerangka ekonomi Madani.

“Saya fikir seluruh rakyat dan juga kerajaan enam negeri akan bersama Kerajaan Ppersekutuan untuk bawa perubahan bernilai dan bermakna buat Malaysia kelak,” katanya selepas hadir memberi sokongan kepada calon PH bagi kerusi Dun Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli.

Armizan juga optimis rakyat akan membuat keputusan bijak dalam memilih kerajaan, lebih-lebih lagi dengan agenda pertukaran kerajaan oleh segelintir pihak.

“Semua tahu dengan asyik menukar kerajaan menjadikan situasi politik kita tidak stabil, jadi mengapa mahu tukar?

“Itu juga mesej yang kita dapat lihat apabila kini kerajaan yang ada pada hari ini fokus kepada perpaduan. Kunci Malaysia untuk bangkit lebih berjaya adalah perpaduan.

“Kerana itu jug,a semalam ketika penamaan calon, semua turun memberikan sokongan di Gombak, daripada perdana menteri sehingga Ketua Menteri Sabah, Premier Sarawak dan pimpinan lain. PM berikan mesej penting, kita bersatu padu demi agenda mengangkat martabat rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette