Penduduk setempat melihat keadaan parit dan paras air yang sering dialami sewaktu banjir di Kampung Batu 38 Baroh, Sabak Bernam, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 30 JULAI 2023.

SABAK BERNAM – Penyelesaian banjir kilat yang melanda Kampung Batu 38 Baroh di sini hampir 20 tahun lalu menjadi pertaruhan pengundi dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Selangor di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar kali ini.

Walaupun masih banyak manifesto lain boleh menarik minat pengundi namun penyelesaian masalah banjir yang dideritai penduduk menjadi satu keutamaan dan perlu dinoktahkan dalam masa terdekat.

Aidaliza Tamsir.  Foto MUHD NA’IM, 30 JULAI 2023.

Menurut seorang penduduk, Aidaliza Tamsir, 43, walaupun laman kediamannya sahaja ditenggelami air namun dia tidak menolak kemungkinan ia boleh menjadi semakin teruk jika tiada langkah pencegahan dilakukan.

“Harapan saya agar wakil rakyat baharu nanti dapat atasi banjir di tempat kami, walaupun rumah akak tak masuk air, tetapi tak mustahil tiga tahun nanti boleh masuk air juga.

“Saya mohon yang akan jadi ketua kita, tolong ambil langkah-langkah pencegahan banjir pada masa depan.

“Bagaimana, kami tak nak tahu, yang kami tahu banjir diminimumkan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Kampung Batu 38 Baroh di sini hari ini.

Calon Barisan Nasional N.01 Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail bersama penduduk berbual bersama penduduk setempat mengenai paras air yang sering dialami sewaktu banjir di Kampung Batu 38 Baroh, Sabak Bernam, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 30 JULAI 2023.

Terdahulu, calon Barisan Nasional (BN) kerusi DUN Sungai Air Tawar bagi Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Selangor, Datuk Rizam Ismail menyantuni beberapa penduduk yang terjejas akibat banjir kilat.

Rizam juga sempat meninjau keadaan sekeliling dan melihat sendiri keadaan sistem perparitan yang tidak diselenggara dan dipenuhi dengan tumbuhan liar yang mengakibatkan banjir kilat.

Sawiah Dolah Sadari . Foto MUHD NA’IM, 30 JULAI 2023.

Sementara itu, bagi Sawiah Dolah Sadari, 44, dia sendiri terpaksa menambak lantai rumah tiga kali dan halaman kediamannya sebanyak tujuh kali untuk mengatasi masalah banjir berulang itu.

“Depan rumah saya beberapa kali tambak, enam tujuh kali ada, kali terakhir tambak saya beli jalan tar, ada orang buat (kerja) tak habis, saya beli dan tambak, tapi sama juga.

“Malah dalam rumah saya sudah tambak banyak kali, tiga kali ada. Setiap kali banjir, almari yang tak sempat nak angkat sebab berat, memang rosaklah.

“Setiap kali banjir kena tukar almari, memang tak boleh buat apa, kerugian lebih RM1,000 dan setiap bilik ada almari dan saya ada lima bilik,” katanya.

Calon Barisan Nasional N.01 Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail bersama penduduk melihat keadaan paras air yang sering dialami sewaktu banjir di Kampung Batu 38 Baroh, Sabak Bernam, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 30 JULAI 2023.

Sawiah juga berharap agar wakil rakyat baharu yang bakal dipilih pada 12 Ogos ini dapat menyelesaikan masalah banjir yang dideritai keluarga sejak 2004 itu.

“Saya berharap sangatlah untuk kali ini (wakil rakyat) boleh selesaikan masalah banjir ini sebab berlaku setiap tahun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast