Mohd Yusri Hassan Basri

IPOH – Seorang pesara kerajaan terpaksa berputih mata apabila wang persaraan serta simpanan dia dan isterinya berjumlah RM542,171 lesap selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan kripto tidak wujud.

Mangsa berusia 70 tahun dari Hilir Perak itu didakwa terpedaya dengan sindiket tersebut selepas melihat iklan pelaburan beralamat di Singapura menerusi Facebook pada 8 Januari lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa telah menghubungi pemilik akaun Facebook tersebut menerusi aplikasi WhatsApp untuk urusan pembelian saham kripto kononnya di Amerika Syarikat.

Kata beliau, suspek kemudian telah meminta maklumat peribadi mangsa seperti nombor kad pengenalan dan akaun bank kononnya bagi urusan dokumentasi pelaburan.

“Mangsa memulakan pelaburan dengan membeli dua unit saham bernilai RM500 dengan membuat transaksi pemindahan wang ke satu akaun bank tempatan.

“Dia diberitahu akan mendapat keuntungan RM4,500 dalam tempoh sehari iaitu pada hari sama dan keuntungan akan terus meningkat sekiranya tidak mengeluarkan wang tersebut

“Pada 10 Januari, suspek memaklumkan bahawa pelaburan mangsa telah mengaut keuntungan RM18,500 namun dia diminta membuat pelbagai pembubaran untuk mendapatkan keseluruhan wang pelaburan itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Mohd Yusri, bagi mendapatkan keuntungan yang didakwa suspek, mangsa membuat 133 transaksi pindahan wang ke dalam 39 akaun bank tempatan berjumlah RM542,171 dalam tempoh Januari hingga Julai lalu.

“Suspek secara berterusan meminta mangsa terus melabur sebelum dia tidak dapat dihubungi apabila mangsa meminta kesemua wangnya dipulangkan.

“Selepas menyedari dirinya tertipu mangsa tampil membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Yusri menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan mana-mana pihak yang menawarkan pelaburan dengan keuntungan berganda dalam tempoh masa singkat. – MalaysiaGazette