Kuala Lumpur Court Complex MACC MEIO case items evidence Hasanah Abdul Hamid
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perbicaraan saman oleh seorang lelaki warga Syria bersama anak lelakinya yang mempunyai keperluan khas yang menyaman sebuah sekolah swasta antarabangsa atas dakwaan kecuaian bermula di Mahkamah Sesyen di sini esok.

Saman itu dikemukakan kerana dakwaan kecuaian selepas salah seorang pelajar di sekolah pendidikan khas di Mont Kiara itu bertindak menganiaya remaja berusia 14 tahun.

Remaja itu menghidapi Sindrom Cohen, Gangguan Tekanan Selepas Trauma (PTSD), Gangguan Hiperaktif dan Kurang Perhatian (ADHD) selain komplikasi lain seperti masalah gastrousus dan juga asma telah dihantar oleh bapanya ke sekolah khas itu sekitar 3 Oktober sehingga 7 November 2021. 

Menurut pernyataan tuntutan, anak beranak itu mendakwa sekolah itu cuai semasa budak lelaki itu belajar di situ dengan mendakwa hanya pada minggu pertama sahaja remaja itu tersebut teruja untuk ke sekolah.

Difahamkan, kelas remaja itu hanya mempunyai dua atau tiga orang pelajar sahaja.

Selepas hampir 10 hari, plaintif mendakwa berlaku perubahan pada remaja tersebut termasuk kulit jari dan tapak kakinya kerap mengelupas selain menjerit meniru kanak-kanak lain di sekolah tersebut.

Mereka juga mendakwa jumlah pelajar dalam kelas remaja itu meningkat kepada enam atau tujuh orang.

Plaintif mendakwa remaja itu juga dipukul oleh seorang rakan sekelas namun wakil sekolah itu mendakwa, budak itu lebam akibat perbuatannya sendirinya dan turut memukul rakan sekelas serta menghantuk kepalanya sendiri ke dinding kelas.

“Anak saya digambarkan dengan cara menghina dan merendahkan dirinya seperti haiwan. Selepas insiden itu, sekolah secara rasmi mengeluarkan anak lelaki saya dari sekolah tersebut dan laporan polis dibuat terhadap sekolah itu di ibu pejabat polis daerah Sentul pada 16 November 2021,” dakwanya.

Ketika ini, bapa dan anaknya itu menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, serta pengisytiharan bahawa sekolah pendidikan khas itu telah melanggar kewajipan penjagaannya.

Perbicaraan saman itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Halilah Suboh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast