Calon PH Dun Hulu Kelang, Juwairiya hadir menyantuni penduduk AU5 Keramat malam tadi.

KUALA LUMPUR – Juwairiya Zulkifli yakin menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Keyakinan calon Pakatan Harapan (PH) bersandarkan beberapa kriteria termasuk dirinya anak jati di kawasan itu.

Namun beliau mengakui berdepan cabaran besar dengan pencabarnya dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bekas menteri besar itu bukan calang-calang kerana sudah bergelar ahli Parlimen selama tiga penggal di Gombak.

“Ada juga sentimen yang meragui kebolehan saya bertanding di Hulu Kelang, menyoal adakah saya mampu. Jawapan saya, saya yakin kerana ini tempat lahir saya, saya belajar di sini, playground saya di sini, kawan-kawan, jiran dan saudara semuanya masih di sini.

“Saya hanya berhijrah masa belajar dan kemudian bekerja. Pengalaman saya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati juga adalah satu kelebihan untuk saya terus berkhidmat untuk dan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui pada majlis menyantuni penduduk setempat di Keramat malam tadi.

Sambung Juwairiya yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari – sebagai calon muda wanita di kawasan yang pengundinya hampir 45 peratus golongan wanita juga akan menjadi satu kelebihan kepadanya.

“Saya adalah muka baharu di sini, seorang calon wanita yang lawan dengan seorang mantan ahli Parlimen yang sudah berkhidmat lebih tiga penggal. Sebagai muka baharu, itu juga kelebihan dan banyak yang boleh saya tawarkan kepada penduduk,” ujarnya.

Dalam pada itu, Juwairiya menolak dirinya mungkin menjadi giant killer untuk lawan bekas ‘ketuanya’ sendiri sebaliknya merasakan kuasa mengundi ada di tangan rakyat.

“Saya tidak sesekali akan cakap saya ini giant killer untuk saya paling penting adalah rakyat. Sebenarnya kuasa itu pada rakyat dan mereka yang buat keputusan, saya hanyalah wakil menjadi suara mereka.

“Saya pulangkan kembali kepada rakyat Hulu Kelang untuk membuat pilihan mereka, saya bersedia untuk berkhidmat untuk mereka,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), DUN Hulu Kelang dimenangi Saari Sungib dari Amanah mewakili PH.

Saari memperoleh majoriti 15,349 undi selepas meraih 25, 746 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Ahmad (10,397 undi) dan calon Pas, Farhan Kamalul Hysham (7,573 undi). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Insyaallah kalau komitmen jitu..jgn sampai jadi macam mantan wakil..selama lima tahun setelah menang tak pernah jenguk kawasan yg menjadi penyokong tegaknya. Janji yg diberi jgn sekali kali di capati kan.

Comments are closed.