BUTTERWORTH – Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) Pulau Pinang yakin memenangi 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Jumlah kerusi itu mengukuhkan peluang membentuk semula kerajaan negeri selepas 12 Ogos ini.
Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang, Goh Choon Aik berkata, maklumat itu diperoleh daripada sumber boleh dipercayai.
“Saudara saudari sekalian, sumber terdekat dan paling dipercayai berkata, kita sudah ada 26 kerusi menang dalam genggaman manakala empat lagi kerusi dalam saingan sengit.
“Sementara itu, empat lagi kerusi memerlukan penyusunan semula strategi dan bekerja lebih keras untuk mencuri peluang memintas lawan kita manakala enam lagi kerusi DUN ditandingi Barisan Nasional turut terlibat sama (perlu dipastikan menang),” katanya dalam ucapan Majlis Pelancaran Manifesto dan Pengenalan Calon-Calon Perpaduan PRN Pulau Pinang di Butterworth Arena malam ini.
Pada masa yang sama, Choon Aik juga meminta para pengundi atas pagar yang masih belum membuat keputusan supaya jangan terpesong dan memisahkan diri daripada aliran politik utama di Pulau Pinang.
“Kalau kita dari Bayan Lepas sehingga ke Tanjung Bunga, dari Bukit Tambun sehingga ke Sungai Puyu ada 26 kerusi macam lawan kita sendiri, lawan bayang-bayang kita sahaja.
“Adakah ini wayang, ini sudah jadi hakikat bahawa kita sudah dapat menang 26 kerusi, ajak jentera PH dan BN kita mengurangkan kempen di kawasan yang agak kuat dan bantu rakan-rakan kita di kerusi DUN yang masih perlu bersaing kuat dengan lawan kita (Perikatan Nasional).
“Pada masa yang sama, kita sedia maklum kerajaan pusat di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang memiliki 147 kerusi Parlimen dan sepanjang lapan bulan ini dengan konsep Malaysia Madanimelaksanakan dasar yang memanfaatkan rakyat dan ia bukan cakap omong kosong.
“Oleh itu, kita perlu kekalkan kesinambungan negeri di bawah kerajaan perpaduan dan kesamaan negeri agar tak dianaktirikan dalam 15 tahun lalu,” ujarnya.
Beliau turut mengajak semua ahli dan pemimpin parti negeri ini turun ke akar umbi kawasan kelabu dan hitam agar kita boleh merealisasikan 40-0 di Pulau Pinang pada PRN.
Katanya, langkah itu penting dan perlu untuk membersihkan sisa-sisa hijau (Pas) di bumi Pulau Pinang yang didakwa hanya membawa kepada perpecahan masyarakat.
Anak Pulau Pinang, katanya, tidak boleh menerima mana mana parti atau ahli politik memecahbelahkan rakyat dan wajib keluar beramai-ramai memenangkan calon Perpaduan PH-BN. – MalaysiaGazette