BN Lenggeng
Mohd Asna Amin (dua dari kiri) beramah mesra dengan seorang pengunjung di pasar malam Taman Ampangan, Seremban, semalam.

SEREMBAN – Kekuatan Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng tidak tergugat walaupun segelintir bekas pemimpin muda UMNO di situ telah ‘menyeberang’ ke Perikatan Nasional (PN).

Calon BN bagi kerusi tersebut, Mohd Asna Amin berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, tidak lebih 20 pengikut individu terbabit yang mengikut langkahnya.

“Cuma dia cakap lebih 500 orang tapi tak nampak pula. Saya lihat ketua-ketua Pemuda cawangan di UMNO Bahagian Lenggeng pun tak ada yang ikut dia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program sudut pidato dan ramah mesra bersama orang ramai di tapak pasar malam Taman Ampangan di sini, semalam.

Sebelum ini, terdapat desas-desus berhubung kemungkinan sokongan pengundi muda terhadap BN di DUN Lenggeng merosot selepas bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin keluar parti dan menyertai Pas.

Walaupun tidak dicalonkan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Zool Amali yang lebih popular dengan gelaran Bozz Jebat bergiat aktif memancing pengundi muda untuk menyokong PN.

Mohd Asna yakin semua pemimpin dan ahli Pemuda UMNO khususnya di DUN Lenggeng kini berada dalam pasukan yang sama dengan kepimpinan parti.

Berhubung misi mengembalikan DUN Lenggeng ke pangkuan BN, beliau memberi komitmen untuk mendapatkan kemenangan yang besar.

“Itu harapan kita supaya kita nak tunjukkan kepada rakyat bahawa gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) ini diterima oleh rakyat malaysia dan di DUN Lenggeng,” jelasnya.

Mohd Asna berdepan pertembungan tiga penjuru dengan calon PN, Mohd Fadli Che Me dan calon Bebas, Zul Azki Mat Sulop.

Pada PRU-14, kerusi tersebut dimenangi oleh PH yang diwakili oleh Suhaimi Kassim, sekali gus mengakhiri penguasaan BN di situ selama 13 penggal.

Namun, pada PRN Negeri Sembilan, kerusi DUN Lenggeng ‘dihadiahkan’ kepada BN yang kini bekerjasama dengan PH di bawah payung Kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette