Ahmad Zahid pada majlis bertemu jentera parti BN dan PH Port Dickson, Negeri Sembilan, hari ini.

PORT DICKSON – Hasrat MIC mahu bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang mengenai isu ‘salah faham’ parti itu dengan UMNO tidak bermaksud Barisan Nasional (BN) sedang goyah.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dakwaan itu tidak sepatutnya timbul malah blok parti dalam BN itu termasuk MCA sudah menyatakan komitmen mereka memastikan kemenangan calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

“Perkara itu (BN tak harmoni) tidak timbul langsung, ketika kami mengadakan mesyuarat war room, wakil MCA dan wakil MIC menyatakan mereka telah mengarahkan seluruh jentera di enam negeri terlibat PRN membantu calon kita.

“Sebagai Perdana Menteri, tentu sekali beliau (Anwar) menyantuni 19 parti yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan dan ini bukan pertama kali PM bertemu Presiden dan Timbalan Presiden MIC,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas bertemu jentera parti BN dan PH di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Turut sama calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli dan calon DUN Bagan Pinang, Mohd Najib Mohd Isa.

Semalam, Anwar yang juga Pengerusi PH mengesahkan akan bertemu dengan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan semua pemimpin MIC negeri untuk menjelaskan isu ‘salah faham’ mereka dengan UMNO.

Menurutnya, ia bagi memastikan parti komponen BN itu dapat bekerja sebagai satu pasukan bersama UMNO dan PH bagi mewujudkan kestabilan politik di negara ini.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan MIC dikatakan tidak gembira dengan layanan UMNO ketika rundingan kerusi PRN enam negeri sehingga MIC mahu memboikot calon UMNO pada PRN kali ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri tentu sekali akan menyantuni mereka dalam pertemuan itu.

“Saya yakin ini merupakan satu optik yang baik mahu diwujudkan antara Perdana Menteri dan MIC,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast