Pas
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama calon Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Kuala Pilah pada Program Jelajah Perpaduan PMX@Pilah di hadapan pejabat Parti Keadilan Rakyat Kuala Pilah Ampang Tinggi, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 31 JULAI 2023.

KUALA PILAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak bersimpati dengan mana-mana individu yang cuba menggunakan institusi diraja untuk menarik sokongan terhadap parti politik mereka.

Menurut beliau, negara ini mempunyai raja, justeru setiap rakyat mesti taat dan setia kepada institusi diraja.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pihak lawan boleh mengecam beliau kerana itu hak mereka.

“Saya tak ambil tindakan melainkan kalau fitnah itu terlalu berat.

“Sebaik sahaja kamu sentuh raja, memang kamu cari penyakit dan malapetaka,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah di sini, malam tadi.

Semalam, Pejabat Sultan Perak membuat laporan polis berhubung satu video tular mengenai sebahagian kecil titah diraja oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang dilihat mengaitkan dan mengheret kedudukan baginda bagi tujuan politik kepartian.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, laporan polis dibuat oleh Pejabat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Perak Sabtu lalu demi melindungi nama baik baginda daripada diheret dan dicemari oleh mana-mana pihak bagi meraih laba politik.

Beliau berkata, pihaknya percaya mereka yang menularkan petikan titah Sultan Nazrin pada 2013 itu mahu mempengaruhi pengundi agar menyokong Pas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri 12 Ogos ini.

Katanya, video tersebut memuat naik sebahagian kecil titah Sultan Nazrin yang dizahirkan pada 19 Februari 2013 di mana baginda ketika itu memangku sebagai Raja Perak menzahirkan titah di Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertemakan ‘Perpaduan Ummah; Harapan, Realiti dan Cabaran’. – MalaysiaGazette