ADUN Rawang, Chua Wei Kiat.
Chua Wei Kiat

KUALA LUMPUR – Tidak semua kawasan di Selangor pasti menjadi milik Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Berikutan itu, calon PH kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang, Chua Wei Kiat meminta supaya pengundi di enam buah negeri, khususnya Selangor, keluar mengundi pada 12 Ogos ini agar dapat memberikan kemenangan besar kepada ganingan parti berkenaan.

“Apabila semua orang menjadi terlalu rileks ia akan berubah menjadi krisis.

“Setiap undi bagi PH dan BN di setiap DUN akan mempengaruhi peluang kemenangan pihak kami, maka saya menyeru semua pengundi akfif keluar mengundi,” katanya nenerusi kenyataan.

Jelas Chua yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR,  berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu, terdapat kerusi Parlimen yang dimenangi oleh PH hanya dengan majoriti antara 1,000 hingga 2,000 undi.

Katanya, senario itu perlu dielakkan daripada berulang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Jika kerajaan PH mengalami kekalahan dalam pilihan raya negeri Selangor, bukan sahaja akan memberi kesan kepada prospek pembangunan negeri tersebut, ia mungkin akan memberi impak kepada pentadbiran Kerajaan Pusat secara tidak langsung,” tambahnya.

Sementara itu, beliau berkata, pengundi di negeri berkenaan perlu menolak Perikatan Nasional (PN) dan memberi mesej kepada parti itu bahawa rakyat menolak politik perkauman dan isu-isu sensitif yang disentuh.

“ Ini akan membantu kerajaan pusat untuk lebih fokus dalam pembangunan dan menyelesaikan masalah rakyat, bukannya seperti sekarang, di mana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sibuk dengan isu-isu ekonomi dan kebajikan rakyat, pada masa yang sama perlu menangani isu-isu perkauman dan agama yang dimainkan oleh PN,” tambah beliau.

Mengulas lanjut Chua berkata, meskipun rasa selesa dengan kerajaan negeri, pengundi Selangor tetap perlu membuat pilihan untuk memastikan perpaduan PH dan BN dapat dibentuk di Selangor.

“Jika pengundi merasa puas hati dengan prestasi kerajaan semasa, mereka haruslah keluar mengundi untuk memastikan kerajaan ini terus kekal . Selain daripada menghadiri acara parti politik, mereka juga boleh menggunakan kemudahan era digital untuk menghantar mesej yang betul daripada pemimpin parti kepada keluarga dan rakan-rakan dan galak mereka mengundi,” katanya. – MalaysiaGazette