Saifuddin Nasution Ismail

PERMATANG PAUH – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertegas untuk meneruskan siri pendedahan isu unsur nadir bumi (REE) meskipun sudah menerima surat tuntutan (LOD) daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu juga berkata, tindakan itu diteruskan selepas Muhammad Sanusi yang juga pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) gagal menjawab beberapa persoalan berbangkit berhubung isu berkenaan sehingga hari ini sekali gus menimbulkan kemusykilan.

“Misalnya saya kata dua personaliti, kebetulan adalah warga China yang masuk ke sini (Malaysia) melalui fasilitasi diberikan menteri besar kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu.

“Ada suratnya serta hasil surat berkenaan, kedua-dua orang ini masuk dan rekodnya adalah menjawat jawatan yang majikannya Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah. Dia (Muhammad Sanusi) kena jawab ini dulu (tak dapat kata apa-apa),” katanya.

Setiausaha Agung PKR itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai berceramah di ‘Pentas Anak Muda N10 Seberang Jaya’ yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong di Bandar Perda, di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution turut menafikan dakwaan beliau menerusi platform media sosialnya secara sengaja mengungkit kes berkaitan kecurian REE yang sudah disabitkan kesalahan.

Namun sebagai membalas pertanyaan itu, Saifuddin berkata, dakwaan itu sebenarnya tidak betul sama sekali.

“Ia tak betul, yang dah jatuh hukum bukan bagi kes tangkapan baharu. Jatuh hukum macam mana kalau Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Kedah tak siasat? Jatuh hukum apa?

“Insiden yang dijatuhkan hukuman itu adalah insiden bertarikh 26 September 2022 (membabitkan) penahanan kenderaan bersama 180 guni REE. Ini memang sudah dikenakan kompaun.

“Namun, tangkapan berikutnya dan penahanan terbaharu oleh polis serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) tak disiasat pun. Justeru, tak selesai lagi, ini baru permulaan. Banyak lagi pendedahan yang akan saya buat selepas ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast