Perasmian dan Pelepasan Delegasi Program Global SULAM dan Mobiliti Outbound oleh Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin di Kampus Induk UTeM.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melaksanakan Program Global Service-Learning Malaysia (Global SULAM) dan Mobiliti Outbound merentas
sempadan antarabangsa di Indonesia.

Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, program SULAM bertaraf antarabangsa ini merupakan julung kali diadakan oleh UTeM yang
menzahirkan impak universiti kepada komuniti merentas sempadan negara.

Jelasnya, program ini juga turut meneguhkan hubungan keserakanan antara dua buah negara Malaysia dan Indonesia dalam konteks pengisian pda tahap pendidikan tinggi
di rantau ini.

Program ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Siswazah (PPS) serta Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal & Pembuatan (FTKMP) UTeM dengan kerjasama Universitas Muhammadiyah Riau (UMRI) Indonesia.

Pengarah Program Global SULAM UTeM yang juga Timbalan Dekan PPS, Ts Dr Suriati Akmal berkata, program ini merupakan platform pemindahan ilmu UTeM
kepada masyarakat global yang melibatkan seramai 10 orang pelajar prasiswazah dan 4 orang pelajar pascasiswazah.

Katanya, program ini diadakan dalam tempoh 2 minggu bermula 25 Julai 2023 hingga 7 Ogos 2023 syang melibatkan komuniti di sekitar daerah Pekan Baru, Riau,
Indonesia.

“Antara lain program ini bertujuan sebagai medan pemindahan ilmu daripada kumpulan pelajar UTeM kepada komuniti setempat melalui kerjasama dengan pelajar
UMRI.

“Program ini juga adalah untuk memberi nilai tambah dan meningkatkan kompetensi pelajar prasiswazah dan pascasiswazah yang mana program ini melibatkan sesi
pemindahan ilmu yang menghubungkaitkan teori dan praktikal dengan penyelesaian permasalahan sebenar yang dihadapi oleh komuniti di sana.

“Antara pengisian adalah dimulakan dengan pemindahan ilmu dan latihan oleh para pelajar UTeM kepada para pelajar UMRI yang terdiri dari beberapa program Ijazah
Sarjana Muda termasuk pelajar program kejuruteraan mesin, kejuruteraan industri, automotif dan kimia,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Delegasi Program ini, Prof Madya Dr Rozaimi Ghazali berkata, program ini turut menyentuh dan berkongsi ilmu dengan komuniti Perusahaan Kecil
dan Sederhana (PKS), guru-guru dan pelajar sekolah menengah di sini.

Katanya, antaranya dengan pemindahan ilmu dan aktiviti pembelajaran berkaitan audit tenaga elektrik serta penyelenggaran penghawa dingin bersama 33 orang pelajar serta guru-guru di sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Muhammadiyah.

“Para pelajar berpeluang menggunakan alatan berteknologi tinggi secara praktikal dan didedahkan dengan kaedah penyelenggaran dan pengurusan tenaga selari
dengan hasrat melestarikan penggunaan tenaga dan mengurangkan pembebasan karbon.

“Ini juga dapat memberi pendedahan kepada pelajar di peringkat sekolah berkaitan dengan hala tuju kerjaya dan bidang-bidang yang ada ditawarkan di peringkat
Universiti,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, selain aktiviti Pemindahan Ilmu kepada komuniti setempat, pelajar UTeM dan UMRI turut dibawa melawat ke salah sebuah pusat
perusahan terkenal di sana.

“Mereka berpeluang menyaksikan sendiri teknologi yang telah dibangunkan di salah satu perusahaan terbesar di Asia Tenggara iaitu APRIL Group yang menghasilkan
produk Pulp and Paper.

“Perkongsian ilmu antara Universiti dan Industri juga telah dilaksanakan bagi mendapatkan peluang kolaborasi seterusnya untuk di manfaatkan kepada
masyarakat setempat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast