Suasana dalam LRT ketika orang ramai ke tempat kerja. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pasaran buruh di Malaysia akan terus mengalami pemulihan dengan jangkaan kadar pengangguran pada tahun 2025 berada pada kadar 3.4 peratus.

Pada 2025, pasaran buruh dijangka akan kembali stabil seperti mana tempoh pra-pandemik, menurut unjuran EU-ERA, The Future.

EU-ERA merupakan sebuah nukleus di bawah The Future yang menjalankan penyelidikan dan analisis pasaran buruh di Malaysia.

Unjuran ini menunjukkan pasaran buruh telah kembali stabil lebih awal daripada jangkaan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Dalam RMKe-12, kadar pengangguran dijangka berada pada paras 4.0 peratus pada tahun 2025.

Menurutnya, unjuran itu selari dengan kadar pengangguran 2022 yang dilaporan oleh Jabatan Perangkaann Malaysia.

EU-ERA, The future turut menekankan keperluan pihak kerajaan untuk memberi tumpuan kepada peralihan demografi yang dijangka memberi impak jangka panjang kepada penawaran buruh akibat daripada penurunan jumlah populasi kumpulan umur bekerja (15-64 tahun).

Berdasarkan senario business-as-usual, kadar pengangguran dijangkakan terus menunjukkan trend yang menurun sehingga tahun 2025.

Pada tahun 2025, kadar pengangguran ini dijangka mencapai keadaan seperti pada tempoh pra-pandemik iaitu sekitar 3.4%. – MalaysiaGazette