KUANTAN – Akibat dengan rimas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) menerusi telefon, seorang pekebun sayur di Cameron Highlands telah membuat 27 transaksi daripada wang simpanannya kepada sindiket penipuan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, mangsa mengalami kerugian RM127,534.46 setelah ’berhubung’ dengan pihak yang menyamar sebagai pegawai bank dan pegawai polis pada 26 Julai lalu.
”Lelaki berkenaan berumur 59 tahun terima pesanan ringkas yang kononnya daripada sebuah bank yang menyatakan ‘terima kasih di atas pengunaan kad 9,679 sebanyak RM3280’ dan diberikan nombor telefon untuk mengadu sekiranya mangsa tidak berbuat demikian.
”Mangsa telah menghubungi talian tersebut dan memberikan maklumat bank sehingga 27 transaksi dibuat ke akaun bank suspek iaitu sebanyak RM87,942.46,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Yahaya, mangsa juga diarah untuk pergi ke mesin ATM dan membuat transaski sebanyak RM39,592.
”Pihak Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – MalaysiaGazette