KUALA LUMPUR – Adalah menjadi suatu keseronokan apabila sayur-sayuran yang ditanam hidup subur dan hasilnya boleh dikongsi dengan jiran tetangga, seperti yang dirasai oleh para peserta kebun komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Gombak Setia.
Masakan tidak, hasil tanaman itu adalah jerih-perih mereka yang sama-sama mengeluarkan peluh dan modal sendiri untuk menjayakan projek kebun berkenaan.
Kini, keterujaan mereka menjadi ‘petani bandar’ cukup tinggi apabila usaha yang dilakukan sejak pandemik Covid-19 mendapat sokongan kerajaan.
Melalui Belanjawan 2023, peruntukan sebanyak RM10 juta disediakan bagi menggerakkan program kebun komuniti di kawasan yang terpilih di peringkat Parlimen bagi menyokong agenda keterjaminan makanan.
Peruntukan itu adalah sebahagian daripada RM30 juta bagi memperbanyakkan aktiviti berkaitan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs).
Bagi Rosli Sulaiman, 57, pengumuman kerajaan itu ternyata berita gembira buatnya dan rakan-rakan yang mengusahakan kebun komuniti.
Ia kerana mereka mempunyai impian untuk mempelbagai hasil tanaman, cuma kekangan kewangan membantutkan usaha mereka.
“Kebun ini walaupun kecil tetapi hasilnya mampu dirasai oleh komuniti di sini. Banyak yang kami tanam antaranya kunyit, jambu, bunga telang, timun, terung yang sering dikongsikan bersama penduduk Blok 41 namun sesiapa pun boleh datang untuk ambil hasil kebun.
“Sebelum ini kami yang keluarkan modal untuk beli baja, racun. Jadi apabila ada diumumkan peruntukan untuk kebun komuniti, memang kami berterima kasih pada kerajaan kerana menggalakkan aktiviti berkebun ini.
“Dengan peruntukan yang ada, kami berharap untuk mendapatkan bekalan baja, racun dan peralatan bagi kebun ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sementara itu, Hasim Yaacob, 68, berkata,, dengan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan, dapatlah meringankan ‘poket’ untuk membeli baja, racun serangga dan peralatan.
“Dengan adanya peruntukan ini, kuranglah sikit komitmen wang kami pada kebun,” ujarnya yang terharu dengan keprihatinan kerajaan dalam menggalakkan kebun komuniti.
Malah, katanya, sokongan kerajaan ini turut meningkatkan semangatnya untuk terus mencurahkan keringat terhadap tanah supaya hasilnya dapat dikongsi bersama-sama jiran.
Dalam pada itu, Murthi Munian, 59, yang baru dua tahun menyertai Rosli dan Hasim mengusahakan kebun komuniti itu percaya peruntukan ini akan menggalakkan lebih ramai penduduk Malaysia berkebun.
Dengan galakan ini sudah pasti dapat memastikan rantaian bekalan sayur-sayuran mencukupi serta selamat untuk rakyat.
“Selain peruntukan yang diberikan, saya juga suka sekiranya kerajaan turut memberi kursus bertani supaya ilmu pertanian dapat dimantapkan, selain menggalakkan penyertaan golongan muda,” ujarnya.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif lain dalam Belanjawan 2023 yang boleh dimanfaatkan rakyat, layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat.- MalaysiaGazette