Guru KAFA Ar-Raudhah mengajar anak-anak murid kelas fardu ain ketika di KAFA Arraudhah, Precint 16, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN 10 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Bayaran khas sebanyak RM600 yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2023 kepada guru kelas agama dan fardu ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, siak, noja dan marbut merupakan satu bentuk pengiktirafan buat mereka.

Sejumlah 70,000 orang menerima bayaran berkenaan dan kebanyakan yang ditemui merasakan sumbangan mereka dalam menegakkan syiar Islam di Malaysia dihargai oleh kerajaan.

Selain itu, kerajaan juga turut menaikkan elaun bagi 35,000 guru KAFA sebanyak RM100 kepada RM1,100 dengan peruntukan tambahan lebih RM 40 juta.

Wan Mohemed Hareeh Wan Yunus

Pengerusi Badan Kebajikan Guru KAFA Putrajaya Wan Mohemed Hareeh Wan Yunus berkata, seperti yang diketahui umum, tenaga pengajar kelas agama dan fardu ain tidak mendapat bayaran gaji.

Sebaliknya kumpulan itu hanya menerima elaun RM1,000 sebelum ini dan dinaikkan kepada RM1,100 dalam Belanjawan 2023.

“RM600 ini memang besar maknanya kepada guru KAFA contohnya dari segi pembelian barang keperluan.

“Kenaikan elaun juga banyak membantu. Sebelum ini kalau dilihat sejarah KAFA pada masa saya mula-mula mengajar pada 2014, elaun hanya RM800.

“Alhamdullilah sehingga sekarang sudah naik tiga kali kepada RM900, RM1,000 dan sekarang RM1,100,” katanya yang turut bekerja sebagai pemandu Grab bagi menambah pendapatan.

Wan Mohemed Hareeh berkata, walaupun kelas KAFA hanya empat jam sehari dari Isnin hingga Jumaat namun tanggungjawab guru bukan mudah.

Katanya, ada guru selepas kelas tamat pukul 5 petang berada di sekolah kadang kala sehingga pukul 7 malam kerana menunggu ibu bapa mengambil anak.

Gelagat anak-anak murid ketika kelas fardu ain di KAFA Arraudhah, Precint 16, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN 10 JULAI 2023.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Imam dan Bilal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Abdul Fattah Abdul Rahman berkata, kumpulan itu merasa dihargai dalam menjalankan tugas agama dan memimpin jemaah dalam ibadah.

“Sumbangan ini menunjukkan kerajaan dan masyarakat menghargai sumbangan mereka dalam menyebarkan dan memperkasa ajaran Islam.

“Pengiktirafan dan sokongan ini dapat mendorong mereka untuk terus melaksanakan tugas agama dengan lebih baik dan bersemangat tinggi.

“Sumbangan ini dapat meningkatkan motivasi imam dan bilal untuk terus memperbaiki diri, sama ada melalui tambahan pendidikan agama, latihan, mahupun bimbingan peribadi,” kata Abdul Fattah.

Katanya, dengan penghargaan daripada kerajaan, mereka akan berasa terdorong untuk terus mengasah ilmu dan kemahiran serta meningkatkan komitmen terhadap tugas agama.

Farzad Abdul Jalil

Sementara itu, Ketua Guru KAFA Ar-Raudah Putrajaya Farzad Abdul Jalil bersyukur kerana kerajaan memperuntukkan RM150 juta kepada sekolah agama, tahfiz dan institusi pondok yang berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Keperluan kami di sini ialah tandas. Kami hanya ada dua. Murid terpaksa bergilir-gilir untuk masuk ke tandas. Begitu juga dengan jemaah. Sekolah ini berkongsi premis dengan surau.

“Jadi kami kemukakan cadangan untuk membuat tandas baharu dan Alhamdullilah baru sahaja siap. Sekarang kami ada empat tandas. Dua untuk lelaki dan dua untuk perempuan,” katanya sambil tersenyum.

Dalam Belanjawan 2023, kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah memperuntukkan RM1.5 bilion sebagai usaha memartabatkan syiar Islam di Malaysia.

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan belanjawan negara, turut mengumumkan penubuhan Wakaf Madani dan pengasingan penuh simpanan syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Langkah tersebut dilihat dapat membantu meningkatkan ekonomi umat Islam di Malaysia.

Sementara itu, bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif lain dalam Belanjawan 2023 yang boleh dimanfaatkan rakyat, layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast