GELANG PATAH – Forest City komited untuk meneruskan pelan pembangunannya melibatkan projek mega pembangunan bercampur seperti mana pelan induk yang diluluskan di atas empat pulau buatan dengan keluasan lebih 7,000 ekar.
Timbalan Presiden Serantau Forest City, Syarul Izam Sarifudin berkata, meskipun kemajuan pasaran hartanah global agak perlahan akibat kesan pandemik Covid- 19, rancangan jangka panjang Forest City untuk mencapai pembangunan mampan terus diberi perhatian.
“Syarikat masih optimis untuk membangunkan pulau buatan dengan hartanah sebagai perniagaan teras.
“Walau bagaimanapun, atas faktor luar jangka seperti pandemik Covid- 19 dan ekonomi global yang perlahan sememangnya memberi kesan dalam momentum pembangunan tersebut, namun ia tetap sepertimana perancangan pelan induk asal”, katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Fasa pertama yang merangkumi tempoh antara 2015 hingga 2020 merupakan perancangan untuk menyiapkan kediaman serta beberapa infrastruktur dan ruang perniagaan bagi menampung penempatan sedia ada.
Manakala, tumpuan bagi Fasa kedua (2020 – 2025) pula membabitkan lebih banyak peluang pelaburan terutama dalam hab perdagangan, kewangan dan industri berteknologi tinggi.
Katanya, syarikat juga sentiasa bersedia untuk menyemak serta menilai semula perancangan pembangunan Forest City selepas 2025 sekiranya ada keperluan untuk berbuat demikian.
Dalam pada itu, pemaju projek mega ini menyasarkan pembeli dari negara Asia seperti Hong Kong, Korea Selatan, Taiwan, Vietnam, Philipina dan juga Indonesia.
Bagi merealisasikan usaha itu, Forest City komited untuk mempergiat promosi di negara-negara berkenaan pada tahun ini. Antara usaha yang dilaksanakan ialah melantik lebih 100 ejen hartanah antarabangsa.
Selain itu, Forest City turut mengalu-alukan peniaga tempatan yang berminat untuk menyewa unit kedai di Forest City berikutan kawasan berkenaan dikelilingi pelbagai sektor industri seperti pelabuhan, kilang dan pentadbiran kerajaan. – MalaysiaGazette