KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seharusnya tampil memberi penjelasan berhubung isu pengumuman peruntukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Setiausaha Agung Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Rosdi Amir berkata, isu tersebut mempunyai kaitan dengan manifesto parti yang bertanding dalam PRN.
“Jangan biarkan pelbagai pihak berkepentingan mengambil kesempatan atas isu ini dan merosakkan imej dan kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan hari ini.
“SPR lebih berhak memberi penjelasan dan panduan pilihan raya khususnya berkaitan isu ini dalam konteks peruntukan undang-undang sedia ada iaitu Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Baru-baru ini, Ahmad Zahid mengumumkan pemberian geran membabitkan RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan RM250,000 kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) Terengganu.
Selain itu, Anwar turut mengumumkan pelbagai bantuan khas kepada rakyat dan penjawat awam sebelum enam PRN berlangsung.
Namun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyifatkan pemberian geran bernilai RM350,000 oleh kerajaan kepada belia Terengganu adalah tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah.
Rosdi menambah, MCW berpendapat adalah lebih wajar mana-mana individu yang mewakili kerajaan, sama ada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau menteri Kabinet membuat pengumuman pemberian sebarang peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk kebajikan dan kebaikan rakyat di luar musim pilihan raya agar nampak lebih berintegriti serta bebas daripada persepsi rasuah.
Beliau memberitahu, secara teknikal, berdasarkan peruntukan undang-undang Akta 5 1954 dan Akta SPRM 2009 (Akta 694), pihak SPRM menyatakan pendirian tersebut memandangkan pengumuman oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dibuat sebelum tarikh rasmi penamaan calon.
“Justeru Akta 5 1954 dan peruntukan berkaitan dalam Akta 694 2009 tidak terpakai,” jelasnya.
Rosdi berkata, isu tersebut boleh dikaitkan dengan kes terdahulu yang menjadi duluan kehakiman dan rujukan iaitu dalam kes Teoh Teik Huat lawan Lim Kean Siew & Anor pada 1981.
Menurut beliau, isu dalam kes tersebut adalah berhubung kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah selaku Menteri Kewangan ketika itu yang berjanji untuk memberi peruntukan kewangan yang besar sekiranya Barisan Nasional (BN) menang dalam pilihan raya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kota.
Untuk rekod, dalam kes tersebut, hakim telah memutuskan bahawa janji-janji pilihan raya seperti itu tidak menjadi kesalahan rasuah. – MalaysiaGazette